Tiga sembuh, jumlah terkini 114 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Tiga lagi kes jangkitan koronavirus COVID-19 di negara ini telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, manakala lima lagi jangkitan baharu dicatatkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes seramai 114 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) mendedahkan statistik terbaharu itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, tiga kes dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan disahkan sembuh menjadikan kes yang sembuh daripada COVID-19 di negara ini kepada lima orang setakat ini, yang semuanya telah pun dibenarkan pulang.

“Daripada 109 kes yang dirawat, seorang masih dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan dan alat bantuan heart/lung machine (ECMO), sementara tiga lagi dalam pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan baik,” kongsinya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam pada itu mengatakan, kes 110 berumur 21 tahun merupakan warga tempatan yang baru pulang dari United Kingdom pada 23 Mac lalu menaiki pesawat BI004 (tempat duduk 35E) dan bergejala pada 20 Mac.

Gambar rajah menunjukkan bilangan kluster dan jangkitan terkini COVID-19.

Kes 111 mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 112 dan 114. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom dan telah pulang ke negara ini pada 15 Mac lalu di mana ujian makmal beliau pada ketika itu adalah negatif. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya terdedah kepada beberapa kes yang telah disahkan dengan COVID-19 namun tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Kes 112 berumur 51 tahun juga mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 111 dan 114. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Ujian awal makmal beliau pada 20 Mac lalu adalah negatif dan beliau telah mula menjalani kurantin sejak hari tersebut. Walau bagaimanapun, beliau telah sekali lagi menjalani ujian makmal pada 24 Mac lepas berikutan pengesahan kes 101 di dalam kluster berkenaan.

Kes 113 berumur 20 tahun adalah merupakan anak kepada kes 103. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula bergejala pada 22 Mac lalu. Sementara itu, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa penyiasatan kes bagi kes 103 masih lagi giat dijalankan.

Kes 114 berumur 50 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 111 dan 112. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Ujian awal makmal beliau pada 20 Mac lepas adalah negatif dan beliau telah mula menjalani kuarantin sejak hari tersebut. Walau bagaimanapun, beliau telah sekali menjalani ujian makmal pada 24 Mac lalu berikutan pengesahan Kes 101 di dalam kluster berkenaan. Beliau mula bergejala pada 24 Mac.

Yang Berhormat Dato juga memaklumkan bahawa pada ketika ini seramai 1,221 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala seramai 794 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik, dan sejak awal Januari, sebanyak 4,519 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.

Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.