Tiga sukan sasar pingat emas

KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Tiga sukan iaitu badminton, berbasikal trek dan terjun yang menjadi sandaran meraih pingat emas pertama Malaysia di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, masing-masing mempunyai peluang dan cabaran berbeza.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata ketiga-tiga sukan itu yang telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, sebelum ini sering menjadi harapan menyumbang pingat di temasya sukan dunia itu.

Namun, dengan cabaran serta kekangan dalam persediaan atlet sepanjang tempoh pandemik COVID-19, Zolkples berpendapat berbasikal trek menerusi jaguh negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memiliki peluang lebih cerah membawa pulang pingat emas berbanding badminton dan terjun.

Di Tokyo, beliau melihat Mohd Azizulhasni, 33, mempunyai peluang lebih baik dalam acara keirin berbanding pecut, namun juara dunia keirin 2017 itu tetap akan menerima tentangan sengit terutama dari Great Britain menerusi juara Olimpik enam kali Jason Kenny.

Beliau berkata keinginan Kenny yang meraih emas acara keirin dan pecut di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro untuk mengatasi rekod legenda berbasikal trek Great Britain Chris Hoy yang turut mengumpul enam pingat emas Olimpik pasti menambah darjah kesukaran dihadapi Mohd Azizulhasni. – Bernama