Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 27 Feb – Tiga orang suspek yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong telah berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).
Penahanan dua suspek warga tempatan dan seorang penduduk tetap iaitu Awangku Muhammad Nazri bin Pengiran Mohd Jasni, 30, Nelson Mancha anak Po, 25, dan Mohammad Nazmenizam bin Abdullah, 20, adalah hasil daripada maklumat yang diterima oleh Balai Polis Tutong.
Ketiga-tiga suspek berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, iaitu curi dalam rumah yang boleh dihukum penjara bagi tempoh yang tidak melebihi tujuh tahun dan juga denda.
Hasil dengan penangkapan berkenaan, PDB khususnya Daerah Polis Tutong telah berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan di kawasan tersebut.
PDB juga berharap mana-mana saksi atau orang ramai yang telah menjadi mangsa berhubung kes curi di kawasan RPN Bukit Beruang dapat tampil ke hadapan dan membuat laporan ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 993.

Di kesempatan ini, PDB menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
PDB juga menyeru orang ramai agar dapat memberikan kerjasama yang padu dalam berkongsi maklumat tentang apa jua aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menerusi talian 993.
PDB akan sentiasa memantau dan memastikan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang dibendung dan dibanteras.