Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Tiga suspek pembunuhan gabenor ditahan

    PAMPLONA, FILIPINA, 5 MAC – Polis Filipina telah menahan tiga orang berhubung pembunuhan seorang gabenor wilayah dan lapan lainnya, menurut pihak berkuasa hari ini, dan menambah bahawa seorang lagi suspek terbunuh dalam kejadian tembak-menembak.

    Seramai 17 orang turut mengalami kecederaan dalam serangan yang berlaku kelmarin di kawasan penanaman tebu di Filipina.

    Sekurang-kurangnya enam orang penyerang yang bersenjatakan raifal dan memakai uniform ala tentera melepaskan tembakan di kediaman gabenor di perbandaran Pamplona, wilayah tengah Negros Oriental.

    Gabenor Reol Degamo menjadi mangsa terbaharu serangan ke atas ahli politik tempatan.

    Dua daripada tiga suspek yang ditahan merupakan bekas tentera yang telah dipecat tujuh tahun lalu, menurut kenyataan tentera Filipina.

    Suspek keempat terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di kawasan ladang pada malam kelmarin, menurut jurucakap polis, Leftenan Kolonel Gerard Pelare kepada pemberita.

    Polis Filipina membuat sekatan jalan raya untuk mencari suspek dalam kes pembunuhan seorang gabenor di perbandaran Pamplona, wilayah tengah Negros Oriental, baru-baru ini. – AFP

    Pelare berkata kira-kira 10 orang suspek terlibat dalam serangan tersebut. Pihak berkuasa percaya penyerang masih berada di pulau itu selepas pelabuhan ditutup bagi menghalang mereka daripada melarikan diri, katanya.

    Angka kematian meningkat kepada sembilan orang pada lewat semalam, kata polis.

    Seramai 13 orang telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan, manakala empat lagi dirawat bagi kecederaan ringan.

    Negros Oriental merupakan salah sebuah daripada dua buah wilayah di pulau Negros, yang menjadi pusat industri gula negara itu dan diduduki oleh beberapa orang pemilik tanah paling kaya dan peladang paling miskin di negara itu.

    Degamo, 56, merupakan ahli politik ketiga yang ditembak di Filipina sejak pilihan raya tahun lalu.

    Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Degamo sebagai pemenang sah dalam pertandingan untuk jawatan gabenor Negros Oriental, selepas pengiraan semula menyaksikan pesaingnya, yang sebelum ini diumumkan sebagai pemenang, tewas. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...