Tiga syarikat gagal hadapkan penyata cukai didenda

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Pada bulan Mei dan Jun 2021, tiga syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda setelah wakil syarikat-syarikat tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana gagal mematuhi Seksyen 52 (1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, kelmarin.

Kenyataan menyatakan bahawa pada Mei 2021, sebuah kedai bengkel kereta di Berakas telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Seterusnya, pada Jun 2021, sebuah syarikat telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata-penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Sementara itu, syarikat ketiga juga telah dikenakan denda sebanyak $3,600 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017.

Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi sukacita ingin mengingatkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.

Kegagalan untuk menghadapkannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35 yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 dan jika gagal membayar akan dipenjarakan selama 12 bulan.