Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tiga syarikat i-Usahawan kongsi kejayaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Program i-Usahawan adalah antara yang mengambil bahagian dalam pameran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dengan menampilkan tiga buah syarikat.

    Program i-Usahawan adalah inisiatif yang diterajui kerajaan, yang diperkenalkan oleh Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri untuk menyokong usahawan belia tempatan bagi memulakan, memiliki dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri serta mendapatkan kontrak pertama mereka dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun dalam sektor tenaga.

    Dilancarkan pada 1 Ogos 2018 sempena Hari Belia Kebangsaan ke-13, program berkenaan menyediakan campur tangan pasaran yang diterajui kerajaan dalam sektor tenaga melalui penyediaan kontrak perniagaan dan inisiatif pembinaan kapasiti, memperluaskan sumbangan kepada aktiviti ekonomi negara melalui keusahawanan. 

    Program berfungsi sebagai platform untuk melahirkan usahawan belia yang berdaya tahan yang mampu mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka dengan matlamat utama untuk menjadi pemain utama seterusnya dalam industri.

    Program berkenaan telah diperluaskan kepada sektor bukan tenaga pada 2021 di bawah bidang kuasa Darussalam Enterprise (DARe).

    Ketua pegawai eksekutif HanR Sdn Bhd semasa ditemui pihak media.
    Pengurus besar DMOS Technologies semasa ditemu bual.
    Hajah Haryanie semasa ditemu bual.

    Tiga syarikat i-Usahawan menyertai pameran itu adalah Munch Brunch Canteen, HanR Sdn Bhd dan DMOS Technologies yang mempamerkan pengalaman dan kejayaan keusahawanan mereka, termasuk pelbagai aktiviti atau kontrak perniagaan baharu yang diperolehi dalam sektor tenaga dan bukan tenaga sejak menyertai program itu.

    Turut mengambil bahagian dalam pameran itu adalah salah satu syarikat minyak dan gas yang dipacu belia iaitu OVB Sdn Bhd, yang telah menunjukkan kejayaan luar biasa dalam pelbagai perkhidmatan sokongan dalam industri tersebut.

    Dengan kontrak yang diberikan baru-baru ini bersama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, syarikat itu menyasarkan untuk memaksimumkan lagi pengambilan pekerjaan tempatan dan sumbangan kandungan tempatan mereka.

    Semasa ditemui pihak media, pemilik Munch Brunch Canteen, Hajah Haryanie binti Haji Bujang mengongsikan kelebihan program tersebut dalam membantu syarikatnya memperkenalkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada lebih ramai pelanggan.

    “Ia sangat membantu dalam semua hal terutamanya dalam jualan, perkembangan kepimpinan dan bagaimana menguruskan kakitangan yang menjadi lebih teratur,” jelasnya.

    Pada masa sama, beliau turut memberi nasihat kepada para belia yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar sentiasa berusaha, berdoa dan tawakal di samping memperbetulkan niat, tujuan penubuhan sesebuah perniagaan tersebut.

    Sementara itu, Pengurus Besar DMOS Technologies, Awang Dzaidenny bin Muslim turut mengongsikan perjalanan positif yang syarikatnya dapat setelah menyertai program berkenaan.

    “Alhamdulillah, setentunya dengan menyertai program ini, ia banyak membantu kredibiliti syarikat untuk berkembang dengan mulanya memberi perkhidmatan kepada organisasi kecil hingga kepada organisasi lebih besar di samping meningkatkan standard perkhidmatan yang lebih baik dari sebelumnya,” ujarnya.

    Bagi Ketua Pegawai Eksekutif HanR Sdn Bhd, Awang Hairulalimin bin Ramli pula, Program i-Usahawan yang mula disertai pada 2019 dilihat banyak membantu syarikatnya dalam mendapatkan lebih banyak projek di mana mereka berjaya mendapatkan projek kedua setelah enam bulan menyertai program berkenaan.

    Menyentuh mengenai perkembangan signifikan yang dilalui syarikatnya setelah menyertai program tersebut, beliau mengongsikan bahawa apabila syarikatnya menggunakan dan membawa nama i-Usahawan bersama, ia telah memberi nilai tambah kepercayaan pelanggan kepada syarikatnya sekali gus mempertingkatkan lagi peluang untuk syarikatnya berkembang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...