Tiga syarikat Malaysia tersenarai ‘Best Under A Billion’ Forbes Asia 2019

SINGAPURA, 11 JULAI – Tiga syarikat Malaysia menjadi antara 200 syarikat awam berprestasi tinggi yang tersenarai dalam ‘Best Under A Billion’ Forbes Asia tahun ini.

Firma tersebut ialah Pentamaster Corporation Bhd, Vitrox Corporation Bhd dan Elsoft Research Bhd.

Senarai ‘Best Under A Billion’ mengiktiraf  200 syarikat awam terkemuka di rantau Asia Pasifik yang merekodkan perolehan tahunan antara AS$5 juta dan AS$1 bilion.

“Ia juga membuktikan kedinamikan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana Asia dalam mencipta nilai di seluruh rantau ini,” kata Editor Forbes Asia, Justin Doebele, dalam kenyataan hari ini.

Menurut Forbes Asia, 200 syarikat itu mencatatkan pertumbuhan purata keuntungan bersih dan jualan tahunan melebihi 50 peratus mengikut tahun kewangan mereka dengan gabungan masing-masing bernilai AS$10 bilion dan AS$54 billion.

“Nilai pasaran keseluruhan bagi kelas itu untuk 2019 bagaimanapun susut 10 peratus kepada AS$228 bilion, daripada senarai sebelumnya, dalam keadaan ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

“Beberapa kisah kejayaan terbesar Asia, seperti Alibaba, juga pernah berada dalam senarai ‘Best Under A Billion’,” kata Doebele. – Bernama