Tiga terbunuh insiden tikam

READING, UNITED KINGDOM, 21 JUN – Tiga orang terbunuh manakala tiga lagi mengalami kecederaan serius ketika penyerang mengamuk di sebuah taman yang dipenuhi oleh orang yang sedang berehat di bandar Reading, Selatan England kelmarin, menurut polis.

Polis Lembah Thames mengatakan mereka telah melancarkan siasatan pembunuhan dan tidak menganggap kejadian itu berkaitan dengan keganasan selepas membuat penahanan di tempat kejadian.

Perdana Menteri Boris Johnson mengutuk ‘kejadian mengerikan’ itu dan ahli politik terkemuka yang lain mengucapkan simpati kepada mereka yang cedera di taman Forbury Gardens di pusat bersejarah bandar.

“Kejadian tersebut tidak dianggap sebagai insiden keganasan, namun para pegawai tetap bersikap terbuka terhadap motif kejadian itu dan disokong oleh rakan-rakan dari Polis Pembanteras Keganasan South East,” menurut kenyataan polis.

Mereka mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 25 tahun tetapi tidak merujuk kepada laporan media yang mengatakan bahawa pelakunya adalah warga Libya.

“Rasa simpati saya untuk semua yang terkesan dari kejadian mengerikan di Reading dan saya berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan di tempat kejadian,” tweet Johnson.

Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel mengelarnya ‘serangan tidak masuk akal terhadap orang yang sedang menikmati malam minggu dengan kawan-kawan”.

Tunjuk perasaan Black Lives Matters berlaku di taman tersebut sebelum itu tetapi polis berkata tidak ada petunjuk bahawa kedua-dua insiden itu ada kaitan. “Dari segi protes dan mereka yang menghadiri perhimpunan Black Lives Matters, kami semua selamat,” kata penganjur Reading BLM, Nieema Hassan melalui Facebook.

“Tiada seorang daripada kami yang terkesan. Kami telah beredar ketika kejadian tersebut berlaku.”- AFP