Tiga terima hidayah Islam

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Pusat Dakwah Islamiah Daerah Belait

BELAIT, 9 OGOS – Bagi meraikan saudara baharu yang memeluk agama Islam, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Daerah Belait telah mengadakan dua majlis pengislaman secara berasingan di dewan pusat berkenaan baru-baru ini.

Majlis pertama menyaksikan Awang Aliffi bin Rosman, 27, berbangsa Dusun telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah di hadapan guru agama terlatih, Awang Muhammad Rushdi bin Abdullah. Beliau yang berasal dari Kampung Sungai Liang itu telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Azka @ Aliffi bin Abdullah.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang disampaikan oleh Penolong Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Sementara itu, seorang ibu dan anak lelakinya masing-masing berbangsa Bisaya dan Cina turut melafazkan ikrar pengislaman yang disaksikan oleh guru agama terlatih Awang Muhammad Nur Aisamuddin bin Muhammad Hanafi dan Hajah Salimah. Kedua-duanya, Saidah Anak Tinting, 66, dan Denny Yapp, 40, telah memilih nama Islam mereka sebagai Nur ‘Azizah binti Abdullah Tinting dan Muhammad Abdul Hakim bin Abdullah Yapp.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan cenderahati kepada kedua-dua saudara baharu yang disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tenaga Pengajar di Pejabat Dakwah Belait, Abdul Khaliq bin Kamree. Dengan bertambahnya jumlah saudara baharu itu, PDI Daerah Belait setakat ini telah mencatatkan seramai 36 orang yang telah memeluk agama Islam bermula awal tahun ini hingga 31 Julai.

Dayang Nur ‘Azizah dan Awang Muhammad Abdul Hakim semasa melafazkan ikrar pengislaman sambil disaksikan oleh Awang Muhammad Nur Aisamuddin dan Hajah Salimah.
Hajah Salimah menyampaikan cenderahati kepada Awang Aliffi selepas melafazkan Dua Kalimah Syahadah.