Tiga terlibat pengedaran dadah diberkas

Gambar serahan BKN

TUTONG, 5 JULAI – Biro Kawalan Narkotik (BKN) baru-baru ini berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah dan memberkas tiga orang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 26 sehingga 43 tahun di sebuah rumah kedai di Kampung Sengkarai, Tutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN di sini hari ini, dalam usaha berterusan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan pada 24 Jun lalu.

Hasil serbuan itu berjaya memberkas tiga suspek dan menemui beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A melebihi 20 gram yang dianggarkan bernilai lebih $4,000. BKN turut merampas alat perkakas dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, satu timbangan digital dan paket-paket plastik kosong, telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penjualan dadah serta sejumlah wang tunai hasil pengedaran dadah.

Suspek-supek masih dalam siasatan bagi kesalahan-kesalahan seperti dua suspek di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan, hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan dan memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas A, lebih daripada 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 6(a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya serta Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya.

Manakala siasatan ketiga bagi semua suspek di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

BKN mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Aktiviti pengedaran dadah terkawal tidak menjamin masa depan seseorang dan ia bukan satu jalan penyelesaian dalam menghadapi masalah kewangan atau bagi menjana pendapatan dalam menyara kehidupan seharian ataupun keluarga. Mengedar dadah terkawal boleh memberikan impak negatif kepada kesihatan, memusnahkan kehidupan keluarga dan menjejaskan kestabilan serta keselamatan negara.

Antara paket berisi dadah yang dirampas pada serbuan itu.
Wang tunai yang dipercayai hasil pengedaran dadah turut dirampas.