Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga tonggak utama selaraskan perkembangan ASEAN

    Oleh Ruzaini Haji Daud

     

    ASEAN merupakan sebuah perhimpunan negara-nergara yang berada di kawasan Asia Tenggara mula ditubuhkan pada 8 Ogos 1967.

    Dalam menyatukan 10 buah negara anggota ASEAN yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Negara Brunei Darussalam, Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja, Komuniti ASEAN telah ditubuhkan pada tahun 2015.

    Komuniti ASEAN berdasarkan kepada tiga tonggak utama iaitu Komuniti Keselamatan Politik (APSC), Komuniti Ekonomi (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya (ASCC) telah dibangunkan untuk menghubungkan bangsa serantau, berkongsi pendapat dan terus berkembang maju.

    Tiga tonggak utama itu dipercayai dapat membantu untuk memenuhi matlamat keseluruhan Komuniti ASEAN iaitu untuk membina Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke dalam sebuah organisasi kerjasama antara kerajaan yang luas dan lebih terikat mengikut undang-undang Piagam ASEAN.

    Kepentingan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC)

    Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) merupakan tonggak paling penting dan dianggap sebagai pra-syarat untuk merealisasikan dua tonggak yang lain. Ia adalah bertujuan untuk mewujudkan pasaran dan pengeluaran asas tunggal berdasarkan beberapa ciri tertentu seperti barangan aliran bebas, perkhidmatan, pelaburan, modal dan buruh berkemahiran sekaligus menggalakkan sikap persaingan serantau, mewujudkan kemakmuran dan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur asing.

    Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) merupakan acara tahunan sejak tahun 2006 bagi membincangkan hal ehwal keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Gambar memperlihatkan barisan menteri negara-negara ASEAN ketika ADMM ke-10 yang diadakan di Vientiane, Laos, 25 Mei 2016.
    Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) merupakan acara tahunan sejak tahun 2006 bagi membincangkan hal ehwal keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Gambar memperlihatkan barisan menteri negara-negara ASEAN ketika ADMM ke-10 yang diadakan di Vientiane, Laos, 25 Mei 2016.
    Menjayakan tiga tonggak utama Komuniti ASEAN iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) setentunya akan dapat mendukung kempen melawat ASEAN ‘Visit ASEAN@50 : Golden Celebration’.
    Menjayakan tiga tonggak utama Komuniti ASEAN iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) setentunya akan dapat mendukung kempen melawat ASEAN ‘Visit ASEAN@50 : Golden Celebration’.
    Kerjasama keselamatan politik dan saling bantu-membantu bagi sesama negara-negara anggota telah dititikberatkan untuk memastikan keamanan dan keselamatan dalam pembangunan ASEAN sebagaimana yang digariskan di bawah Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC).
    Kerjasama keselamatan politik dan saling bantu-membantu bagi sesama negara-negara anggota telah dititikberatkan untuk memastikan keamanan dan keselamatan dalam pembangunan ASEAN sebagaimana yang digariskan di bawah Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC).

    Pembentukan AEC telah diperkukuhkan lagi melalui beberapa perjanjian kritikal seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, Perjanjian Rangka Kerja Perkhidmatan ASEAN, Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Kawasan Pelaburan ASEAN, Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN, Skim Kerjasama Perindustrian ASEAN dan Pelan Tindakan untuk Kewangan dan Integrasi Kewangan ASEAN.

    Satu pencapaian yang cemerlang dalam perkembangan AEC adalah apabila enam ahli ASEAN terawal iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Negara Brunei Darussalam berjaya mengurangkan tarif bagi komiditi sekaligus mendapat manfaat daripada potongan cukai kepada 0-5 peratus pada tahun 2010 dan diikuti dengan empat negara anggota baru ASEAN yang lain iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang berjaya menyelesaikan tugas tersebut pada tahun 2015.

    AEC adalah model hubungan ekonomi serantau berdasarkan mekanisme kesinambungan ekonomi ASEAN yang sedia ada dan ditambah lagi dengan faktor-faktor modal percuma dan aliran kemahiran buruh.

    Untuk membina rantau yang berdaya saing dari segi ekonomi, AEC juga turut menggalakkan persaingan, perlindungan pengguna dan hak cipta harta intelek, kemajuan perkembangan infrastruktur dan mewujudkan dasar pembangunan e-dagang.

    Sementara itu, ia juga berperanan untuk melaksanakan Rangka Kerja ASEAN bagi Pembangunan Ekonomi Saksama dengan tumpuan kepada menyokong negara-negara anggota baru dan memudahkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana.

    Negara-negara ASEAN juga mempercepatkan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas blok dengan rakan utamanya (China, Jepun, Republik Korea, India, Australia dan New Zealand) dan bekerja keras untuk memuktamadkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau agar ia boleh memberikan ruang ekonomi terbuka di Asia Timur. Usaha ini adalah bertujuan untuk memperluaskan integrasi ASEAN ke dalam ekonomi global.

    Keamanan sejagat melalui Komuniti Keselamatan Politik (APSC)

    Sementara Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC) pula berperanan untuk memastikan keamanan dan keselamatan dalam pembangunan yang direncanakan di Asia Tenggara dengan meningkatkan kerjasama keselamatan politik dan saling bantu-membantu bagi sesame negara-negara anggota.

    Perkongsian budaya antara negara anggota diperkuatkan di bawah Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC) dan salah satunya adalah permainan pasang umpama permainan catur yang menguji minda. – Gambar Lenna N.B.
    Perkongsian budaya antara negara anggota diperkuatkan di bawah Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC) dan salah satunya adalah permainan pasang umpama permainan catur yang menguji minda. – Gambar Lenna N.B.
    Pembelajaran sepanjang hayat adalah digalakkan di kalangan komuniti ASEAN sebagaimana yang digariskan di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
    Pembelajaran sepanjang hayat adalah digalakkan di kalangan komuniti ASEAN sebagaimana yang digariskan di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
    Setiap negara anggota ASEAN memiliki keistimewaan dan keunikan budaya yang tersendiri.
    Setiap negara anggota ASEAN memiliki keistimewaan dan keunikan budaya yang tersendiri.

    Rangka Tindakan APSC telah menubuhkan kerjasama masyarakat dalam pembangunan politik, membentuk dan mewujudkan perkongsian norma, mencegah dan menyelesaikan konflik, membina keamanan pasca konflik dan melaksanakan mekanisma-mekanisma tertentu.

    Melalui APSC, ASEAN dapat diharapkan untuk menjadi masyarakat yang hidup berasaskan peraturan-nilai dan norma-norma bersama, kawasan padu, aman, stabil dan berdaya tahan untuk menggalas tanggungjawab bersama untuk mencapai tahap keselamatan yang menyeluruh.

    Di samping itu, ia juga berharap untuk melihat ASEAN sebagai sebuah rantau yang dinamik dan sentiasa memandang ke hadapan dengan meningkatkan perpaduan serta bersiap sedia dalam menghadapai dunia yang kian mencabar.

    Ia juga berperanan untuk menggalakkan masyarakat untuk terus memelihara keistimewaan nilai-nilai murni sesebuah negara dan memperkukuhkan lagi hubungan politik. Bagi merealisasikan impian tersebut, beberapa perjanjian telah ditandatangani seperti Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara, dan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut Timur.

    Justeru, negara-negara ASEAN harus berganding bahu dalam membina kepercayaan, memupuk dialog dan persefahaman untuk mengelakkan konflik dan meningkatkan hubungan pertahanan dan keselamatan demi membentuk rantau yang bersepadu, aman, berdaya tahan sekaligus mencapai keselamatan yang menyeluruh. Ia juga turut bersama-sama membantu untuk membina keamanan pasca konflik dalam bidang keselamatan bukan tradisional.

    ASEAN juga telah meningkatkan keutamaan dalam kerjasama dan pembangunan komuniti serantau untuk memainkan peranan sebagai momentum utama dalam pembentukan hubungan yang terbuka dan telus sekaligus menjadikan ia sebagai rantau yang dinamik dan bersepadu.

    Kerjasama dalam APSC dipergiatkan lagi dengan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus dan Forum Maritim ASEAN serta Forum Perkembangan Maritim ASEAN bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan marin.

    Bina persefahaman melalui Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC)

    Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC) pula bertujuan untuk merealisasikan masyarakat ASEAN yang mesra rakyat dan memiliki tanggungjawab sosial bagi mencapai perpaduan antara bangsa dan negara-negara anggota yang berkekalan. Ia juga bertujuan untuk membentuk satu identiti bersama dan membina sebuah masyarakat yang penyayang.

    Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) berperanan dalam menyokong pembangunan ekonomi saksama seperti menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagaimana yang diusahakan oleh Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 yang merupakan salah satu satu produk 1 Kampung 1 Produk MPK Kampung Tungku. – Gambar Lenna N.B.
    Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) berperanan dalam menyokong pembangunan ekonomi saksama seperti menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagaimana yang diusahakan oleh Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 yang merupakan salah satu satu produk 1 Kampung 1 Produk MPK Kampung Tungku. – Gambar Lenna N.B.
    Kempen kesedaran penyakit berjangkit dan HIV/AIDS giat dilaksanakan di negara-negara ASEAN sekaligus mendukung tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC). - Gambar Lenna N.B.
    Kempen kesedaran penyakit berjangkit dan HIV/AIDS giat dilaksanakan di negara-negara ASEAN sekaligus mendukung tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC). – Gambar Lenna N.B.

    ASCC juga dapat memudahkan pembentukan APSC dan AEC. Rangka kerja ASCC adalah merangkumi enam eleman utama iaitu pembangunan insan, perlindungan dan kebajikan sosial, hak dan keadilan sosial, memastikan kelestarian alam sekitar, membina identiti ASEAN dan merapatkan jurang pembangunan.

    Pelbagai aktiviti yang direncanakan di bawah pelan tindakan itu telah mula dilaksanakan di negara-negara ASEAN seperti menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan penggunaan komunikasi dan teknologi maklumat untuk menggalakkan program pendidikan dan kesedaran mengenai ASEAN.

    Melalui ASCC juga telah memperkuatkan hubungan kesihatan serantau bagi negara-negara ASEAN dalam sama-sama mencegah dan mengawal penyebaran penyakit-penyakit berjangkit dan HIV/AIDS.

    Di samping itu, setiap negara anggota ASEAN juga telah berusaha untuk mengurangkan tahap kemiskinan, memastikan sumber tenaga dan makanan yang mencukupi, membina komuniti ASEAN yang bebas daripada pengaruh dadah dan segera bertindak balas terhadap sebarang kejadian bencana alam yang terjadi di kalangan negara-negara serantau.

    Pautan juga telah diperketatkan untuk melindungi dan menggalakkan hak-hak kumpulan yang lemah seperti wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan pekerja asing. ASEAN telah meningkatkan kerjasama dalam menghadapi cabaran alam sekitar merentas sempadan seperti pencemaran jerebu, pembaziran, penjagaan persekitaran marin, perlindungan biodiversiti dan perubahan iklim.

    Sementara itu, untuk membina identiti ASEAN dan meningkatkan kesedaran awam, negara-negara ahli digalakkan untuk terus memelihara dan mempromosikan nilai-nilai tradisi budaya, memupuk pertukaran budaya dan adat serta menekankan perpaduan dalam kepelbagaian.

    Bersempena dengan ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN pada tahun ini, setentunya pelbagai rancangan dan acara telah diaturkan untuk menggalakkan para pelancong meneroka ASEAN khususnya berdasarkan kempen melawat ASEAN ‘Visit ASEAN@50 : Golden Celebration’ yang berselaraskan tiga tonggak utama Komuniti ASEAN iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda