Tiga wanita mengaku bersalah ambil dadah

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Mahkamah Majistret, di sini, akan menjatuhkan hukuman ke atas tiga orang wanita kerana mengambil dadah ketika berada di pusat pengasingan setelah mereka mengaku bersalah dalam proses perbicaraan secara maya yang dijalankan pada hari ini.

Noorhadahyati binti Aji, 31, Siti Kamilah binti Haji Mohammad, 37, dan Fatin @ Masyitah binti Haji Amzah, 30, mengaku bersalah mengambil dadah kelas A pada 12 September lalu.

Noorhadahyati juga telah mengaku bersalah kerana mengambil dadah yang sama pada 14 November 2019 dan 11 Ogos 2020.

Fatin @ Masyitah juga telah mengaku bersalah kerana menggunakan dadah yang sama pada 28 Januari 2020.

Para tertuduh memohon hukuman diringankan sementara pihak pendakwaan mendesak Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman agar menjatuhkan hukuman tahanan.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff mendedahkan bahawa seorang pegawai yang merupakan komander tapak di Pusat Pengasingan, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong menerima maklumat pada pukul 8:30 malam 12 September daripada seorang pesakit, mengesyaki ada aktiviti berkaitan dadah sedang dilakukan di salah satu tandas wanita di blok 5.

Pesakit itu disoal siasat dan setelah memeriksa rekod, Noorhadahyati dikenal pasti.

Komander tapak kemudian memfailkan laporan pada pukul 9 malam kepada Biro Kawalan Narkotik yang kemudian tiba di tempat kejadian.

Para petugas dengan memakai sut pelindung diri pergi untuk membawa Noorhadahyati dari biliknya.

Noorhadahyati menafikan pengambilan methylamphetamine dan sebaliknya menyatakan bahawa Siti Kamilah dan Fatin yang berbuat sedemikian. Siti Kamilah dan Fatin kemudiannya turut dibawa keluar dari bilik mereka.

Kedua-duanya segera mengaku mengambil dadah tersebut dan Fatin menyerahkan perkakas tiub kaca. Pegawai kemudian mengambil sampel air kencing dan menangkap ketiga-tiga mereka.

Mereka dipindahkan ke Perkampungan Sukan di Berakas untuk menjalani baki Perintah Kuarantin mereka sehingga selesai pada 22 September lepas.

Kerana sampel air kencing diuji positif untuk penggunaan methylamphetamine, siasatan lanjut mendedahkan perbuatan Noorhadahyati dan Fatin yang telah melakukan kesalahan serupa yang dilakukan sebelumnya.

Ketiga-tiga mereka kemudian mengakui bahawa pada waktu petang di pusat pengasingan, mereka telah meminjam peralatan daripada pesakit lain yang akan keluar.

Ketiga-tiga mereka pergi ke tandas dan sementara Siti Kamilah bertindak sebagai pengawas, Noorhadahyati dan Fatin menyediakan dadah dan perkakas.

Ketiga-tiga mereka kemudian berkumpul dan mula bergilir-gilir untuk mengambil methylamphetamine.

Mereka kemudian kembali ke bilik masing-masing sehinggalah dibawa keluar oleh pegawai.