SINGAPURA, 13 Ogos – Menara berputar Tiger Sky Tower di Sentosa di sini ditutup selepas 39 penumpang termasuk empat kanak-kanak dan seorang operator terperangkap lebih empat jam di menara itu pada petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5:30 petang itu, Sky Tower yang boleh membawa 55 penumpang pada satu-satu masa tiba-tiba berhenti pada ketinggian 30 meter ketika sedang menaik.
“Sila ambil maklum bahawa Tiger Sky Tower ditutup sehingga diberitahu kelak,” menurut laman web Sentosa.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataan di Facebook semalam, kabin penumpang Sky Tower itu dibawa turun secara mekanikal kira-kira pukul 9:45 malam.
“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
Channel NewsAsia melaporkan Sky Tower akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan untuk memutuskan bila mereka akan mendapat permit operasi untuk meneruskan operasi menara itu.
“Kami mengambil keputusan untuk menggantung operasi sehingga kami tahu apa yang berlaku supaya kami dapat memastikan daya tarikan ini akan terus beroperasi dengan selamat,” kata Pengarah Sky Tower Alexander Melchers.
Pada ketinggian 131 meter dari aras laut, pemandangan panorama di sekitar Sentosa dan pulau-pulau di selatan Singapura serta negara jiran Malaysia dan Indonesia dapat dilihat dengan menaiki Sky Tower selama tujuh minit.
Ia dikatakan menara pemerhatian tertinggi di Singapura.
Ini merupakan kali ketiga operasi Sky Tower terpaksa ditutup yang mana kali pertama dan kedua berlaku pada 2010. – Bernama