Tiket feri Labuan ke tanah besar habis dijual

LABUAN, 12 Jun – Tiket bagi perkhidmatan feri dari sini ke tanah besar Sabah bagi tempoh seminggu semasa sambutan Aidilfitri telah habis dijual sejak sebulan lepas.

Permintaan terhadap tiket bagi perjalanan dari Labuan ke Menumbok, Sabah dan sebaliknya meningkat walaupun pengusaha feri menyediakan perjalanan tambahan.

Dua pengusaha feri, Labuan Mainland Link Sdn Bhd (LML) dan Juta Bonus Sdn Bhd, telah menjual beribu-ribu tiket menjelang cuti pertengahan penggal persekolahan dan Aidilfitri.

LML mengendalikan tiga feri iaitu Kimanis 1, Putrajaya 1 dan MV Goodwill, yang mampu mengangkut 60 hingga 88 kenderaan dan lebih 300 penumpang pada setiap perjalanan, manakala Juta Bonus mengendalikan feri Galaxy, yang memiliki keupayaan serupa.

Empat feri berkenaan membuat tiga hingga empat perjalanan harian, bermula minggu ini.

Sementara itu, pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Labuan Fauziah Datuk Mohd Din mengulangi kenyataan beliau bahawa peningkatan permintaan bagi perjalanan dari dan ke Labuan menunjukkan dengan jelas tentang keperluan membina jambatan bagi menghubungkan pulau bebas cukai ini dengan tanah besar Sabah. – Bernama