Tiket menyaksikan konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan ‘licin’ dalam tempoh tiga jam selepas dibuka kepada orang awam.
Pengumuman dilakukan menerusi laman Instagram (IG), Live Nation Malaysia, baru-baru ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan luar biasa terhadap konsert Coldplay yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.
“Tidak sabar bertemu anda pada 22 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata kenyataan itu dalam IG.
Sementara itu, tinjauan BH Online di laman sembang mendapat ramai peminat meluahkan rasa hampa gagal memiliki tiket konsert Coldplay di Kuala Lumpur. Ada warganet mula berkira-kira untuk membeli tiket konsert band popular British itu di lokasi lain seperti Indonesia dan Taiwan.
Tidak kurang juga peminat yang mengharapkan keajaiban agar Coldplay mengadakan satu lagi persembahan, iaitu malam kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Agensi