Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tiket konsert New Boyz ‘licin’ dalam sehari

    Dalam masa sehari, tiket Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang selama dua malam yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Februari, tahun depan di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) licin disapu peminat.

    Sambutan luar biasa juga menyebabkan trafik jualan tiket terganggu, kelmarin.

    Gembira reaksi positif, Tomok yang juga vokalis kumpulan popular era 90an itu, menzahirkan rasa terharu terhadap sokongan peminat New Boyz.

    Dalam masa sama, Tomok, 38, memohon maaf terhadap segala kesulitan dilalui peminat untuk mendapatkan tiket.

    “Saya diberitahu trafik sangat tinggi sejak jualan tiket dibuka. Ia menyebabkan timbul masalah sehingga peminat tidak dapat menghabiskan pembelian.

    Tomok mohon maaf atas kesulitan dilalui peminat untuk mendapatkan tiket Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang, tahun depan. – Agensi

    “Ramai cuba berkali-kali dan berjam-jam semata-mata mendapatkan tiket. Pemilik lokasi juga terkejut dengan sambutan yang diterima. Maaf jika peminat terpaksa menunggu lama.

    “Jika ditanya perasaan, saya tentunya terharu dengan sokongan luar biasa. Saya tak sangka tiket persembahan dua malam habis dijual dalam tempoh sehari, kelmarin.

    “Terima kasih kepada peminat tak putus-putus berusaha mendapatkan tiket hingga ‘sold out’. Sekarang, kami sedang mempertimbangkan menambah hari ketiga atas permintaan peminat,” katanya kepada BH Online.

    Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail berkongsi, dia tidak pernah menyangka sambutan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang jadi ‘segila’ itu.

    “Jujurnya, ramai meminta New Boyz mengadakan konsert di lokasi lebih besar. Namun, konsert ini menggunakan dana kami sendiri dan tiada penaja.

    “Nak buat di lokasi lebih besar, bajet besar juga. Ini sahaja yang mampu, jadi kami cuba buat di lokasi ini dahulu,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...