Selepas empat jam jualan dibuka, kira-kira 60 peratus tiket untuk tiga kategori menyaksikan Konsert Raisa: Live In Malaysia, November depan, habis ‘disambar’ peminat.
Ketika ini, tiket masih ditawarkan, sejak jualan dibuka 14 September lalu.
Berikutan sambutan memberangsangkan, penganjur konsert, Hitman Solutions yakin langkah membawa penyanyi berasal dari Indonesia itu beraksi di Zepp Kuala Lumpur, di sini pada 20 November depan, sebagai keputusan tepat.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, sambutan luar jangkaan diterima pada penganjuran Konsert Jubin Nautiyal : Live In Malaysia, baru-baru ini membuktikan rakyat Malaysia mempunyai keinginan besar untuk dihiburkan artis antarabangsa.
“Kami bangga, bersyukur dan teruja menampilkan Raisa iaitu bintang popular di Indonesia, untuk membuat persembahan buat kali pertama di Malaysia.
“Raisa terkenal dalam industri muzik Indonesia dan karyanya mendapat perhatian ketara di negara kita.
“Pencapaian ini kerana Raisa bukan penyanyi biasa. Suaranya yang merdu mewakili gelombang baharu balada, lagu pop dan jazz,” katanya.
Raisa popular menerusi Serba Salah yang dipetik dari album sulungnya, Raisa yang diterbitkan pada 2011.- Agensi
