Tiket penerbangan ke Sarawak mahal 6 kali ganda

KUALA LUMPUR, 2 NOV – Harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November 2021, berbanding harga tiket pada 2019.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat hari ini laporan itu adalah berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 27 Oktober lepas.

Bagi laluan semenanjung ke Sabah pula, beliau berkata Mavcom mendapati harga tiket yang lebih rendah antara 30 hingga 62 peratus direkodkan bagi tarikh penerbangan 4 hingga 10 Nov 2021, berbanding harga tiket pada 2019.

“Harga tiket penerbangan yang tinggi ini antara lain merupakan kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“… kekerapan penerbangan ke Sarawak telah berkurangan sebanyak 86 peratus berbanding sebelum wabak COVID-19 manakala bagi ke Sabah pula kekerapan penerbangan telah berkurangan sebanyak 49 peratus berbanding sebelum wabak COVID-19,” katanya.

Wee menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kementerian menyatakan langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal jumlah penerbangan dan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi. – Bernama