Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Tiket Ronaldo-Messi dibida sebanyak AS$2.6j

    RIYADH, 18 JAN – Seorang ahli perniagaan hartanah Arab Saudi telah memenangi bidaan tiket untuk menyaksikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bermain dalam perlawanan persahabatan, selepas membida AS$2.6 juta pada satu sesi lelongan, kata seorang pegawai kelmarin.

    Perlawanan pada hari Khamis di Riyadh itu akan mempertemukan pemain Paris Saint-Germain, Messi menentang pasukan pilihan yang terdiri daripada pemain dari kelab baharu Ronaldo, Al Nassr dan pesaing mereka dari Saudi, Al Hilal.

    Perlawanan ini merupakan kali pertama Ronaldo bermain di negara itu sejak menandatangani kontrak bersama Al Nassr sehingga 2025 dan bernilai lebih daripada 200 juta euro (AS$214 juta), menurut sumber yang rapat dengan kelab.

    Pemenang Ballon d’Or lima kali itu dijadualkan membuat penampilan sulungnya di Liga Pro Saudi untuk Al Nassr pada hari Ahad.

    Untuk mempromosikan perlawanan persahabatan Khamis ini, Turki al-Sheikh, seorang penasihat di Mahkamah Diraja dan ketua Penguasa Hiburan Am Arab Saudi, mengumumkan lelongan amal untuk tiket istimewa yang mempunyai kelebihan seperti peluang bergambar bersama pemain dan akses ke bilik persalinan.

    Pembidaan bermula pada AS$266,000 dan lelongan ditutup pada 11:30 malam waktu tempatan kelmarin.

    Dia kemudian mengumumkan di Twitter bidaan yang menang sebanyak AS$2.6 juta dibuat oleh Mushref al-Ghamdi.

    Hasil daripada lelongan itu akan disalurkan untuk kempen amal kebangsaan yang dikenali sebagai Ehsan. – AFP

    Gambar fail bertarikh 8 Disember 2020, Cristiano Ronaldo (kiri) dan Lionel Messi (kanan) bertemu di Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Camp Nou, Barcelona.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...