TikTok cabar tindakan Trump

NEW YORK, 23 OGOS – Aplikasi video TikTok mengatakan akan mencabar di mahkamah terhadap tindakan pentadbiran Trump untuk mengharamkan aplikasi popular milik China itu, yang dituduh Washington sebagai mengancam keselamatan negara.

Aplikasi video popular itu berkata semalam ia akan mengemukakan permohonan di mahkamah bagi tujuan berkenaan dan ia dijangka difailkan pada minggu depan. Ketika ketegangan melonjak antara dua ekonomi terbesar dunia itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos yang memberikan rakyatnya tempoh 45 hari untuk berhenti berurus niaga dengan syarikat induk TikTok, ByteDance dan menetapkan tarikh akhir bagi penjualan aplikasi sensasi video yang berpotensi kepada syarikat AS.

“Walaupun kami sangat tidak setuju dengan pentadbiran Trump, namun selama hampir satu tahun kami berusaha mencari penyelesaian terbaik.

“Tetapi apa yang kita alami adalah pihak pentadbiran tidak menangani perkara ini dengan fakta dan cuba camur tangan dalam rundingan perniagaan syarikat swasta,” kata TikTok dalam satu kenyataan.

“Bagi memastikan undang-undang tidak diketepikan dan syarikat dan pengguna kami diperlaku secara adil, kami tidak mempunyai pilihan, selain mencabar Perintah Eksekutif melalui sistem kehakiman,” kata TikTok. TikTok memaparkan klip video pendek menampilkan pelbagai perkara seperti tutorial mewarna rambut hingga menari dan jenaka mengenai kehidupan seharian. – AFP

Kombinasi gambar menunjukkan aplikasi TikTok dipamerkan di skrin tablet di Paris, dan Presiden Donald Trump di Rumah Putih di Washington, DC pada 30 Julai 2020. – AFP