Tiktok capai perjanjian dengan Walmart, Oracle

WASHINGTON, 20 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meluluskan satu perjanjian yang membenarkan syarikat gergasi Lembah Silicon, Oracle, menjadi rakan kongsi data bagi TikTok.

Ia secara langsung mengelakkan penutupan aplikasi video popular milik China, yang sebelum ini dikatakan Washington mengancam keselamatan AS. Perjanjian itu diumumkan kedua-dua belah pihak termasuk Walmart sebagai rakan niaga komersial yang akan mewujudkan syarikat AS baharu bernama TikTok Global.

Ia juga membuka kira-kira 25,000 peluang pekerjaan baharu.

“Saya rasa perjanjian ini akan menjadi perjanjian menakjubkan. Saya menyetujuinya dan jika mereka menyelesaikannya, bagus, jika tidak, saya juga tidak mempunyai masalah,” kata Trump.

Tidak lama selepas itu, TikTok yang dimiliki ByteDance China, mengesahkan perjanjian terbabit, sebelum tarikh akhir hari ini yang ditetapkan oleh pentadbiran Trump yang mana muat turun aplikasi akan diharamkan selepas itu.

Oracle mungkin membeli 12.5 peratus saham dalam TikTok sebelum IPO akan datang, dan Walmart 7.5 peratus saham.

Jurucakap TikTok memberitahu AFP bahawa pihaknya mengalu-alukan cadangan TikTok, Oracle dan Walmart untuk menyelesaikan kebimbangan keselamatan Pentadbiran AS dan persoalan mengenai masa depan TikTok di AS. ByteDance juga mengesahkan perjanjian itu di media sosial, mengatakan ketiga-tiga syarikat itu akan mencapai kesepakatan yang sesuai dengan undang-undang AS dan China secepat mungkin.

Sekiranya ia membuahkan hasil, perjanjian itu dijangkakan mengurangkan ketegangan perlumbaan teknologi antara Washington dan Beijing.

Ia juga memungkinkan rakyat AS dapat terus menggunakan aplikasi popular itu susulan Jabatan Perdagangan AS sudah mengumumkan penangguhan larangan memuat turun TikTok hingga 27 September. – AFP

Gambar fail menunjukkan seorang lelaki membuka aplikasi media sosial TikTok di telefon bimbitnya di Islamabad, Pakistan. Presiden Donald Trump telah meluluskan perjanjian di antara Oracle dan Walmart untuk operasi TikTok di AS. – AP