TikTok didenda langgar privasi pengguna

SEOUL, 15 JULAI – Suruhanjaya Komunikasi Korea (KCC) mendenda platform perkongsian video TikTok Pte Ltd. sebanyak 186 juta won (A$155,000) kerana menyalahgunakan data pengguna, di tengah-tengah peningkatan kebimbangan global terhadap privasi perkhidmatan media sosial.

KCC hari ini berkata aplikasi media sosial popular dalam kalangan remaja itu didapati melanggar undang-undang telekomunikasi tempatan apabila mengumpul data kanak-kanak di bawah usia 14 tahun tanpa persetujuan ibu bapa, dan tidak memaklumkan pengguna mengenai pemindahan data peribadi ke luar negara, lapor agensi berita Yonhap.

TikTok secara tidak sah mengumpulkan 6,000 data pengguna selain memindahkan data pengguna tempatan ke pelayannya di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura. – Bernama