TikTok jadi platform timba ilmu

KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi TikTok sebagai satu ruang perkongsian pelbagai ilmu bukan sahaja memanfaatkan golongan pelajar tetapi juga masyarakat umum yang berbilang kaum tanpa mengira usia dan latar belakang.

Tambahan pula, setiap kandungan video menampilkan kaedah pembelajaran ringkas yang kreatif, padat dengan fakta penting untuk dipelajari dan dihayati sehingga menarik perhatian pengguna TikTok sekali gus berjaya memasuki FYP (For Your Page) iaitu halaman yang mengandungi video dan kandungan viral di platform berkenaan.

Guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 45, berpendapat kandungan video singkat dengan durasi maksimum tiga minit sangat membantu dalam menyampaikan maklumat agar lebih mudah difahami.

“Tujuan saya untuk berkongsi ilmu secara santai. Atas sebab itu, saya biasanya hanya buat video dalam tempoh 30 hingga 60 saat agar audiens tidak mudah rasa jemu dan bosan sekali gus mudah diterima,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang dikenali sebagai Sir Asai dalam kalangan pengguna TikTok memanfaatkan platform itu dengan mengajar bahasa Inggeris melalui perkongsian pelbagai tips dari segi tatabahasa, sebutan dan cara membina ayat dengan melibatkan penyertaan daripada pelajarnya.

“Kadang-kadang ada orang tidak suka belajar dengan cara formal, lagi-lagi bahasa Inggeris. Jadi apabila menggunakan pendekatan ini, secara tidak sedar kita semua belajar melalui penyampaian daripada video itu,” katanya yang mengumpul lebih 447,000 pengikut di TikTok.

Justeru, pemegang Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Exeter, United Kingdom itu berharap perkongsian tersebut dapat memberi ilmu kepada mereka yang menonton sekali gus membantu masyarakat menjadi lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa kedua itu.

Turut senada, Muhammad Syahmi Azizi, 29, yang sering memuat naik kandungan video berkaitan bahan dan fakta sejarah di akaun TikToknya @sirsyahmi92 menerusi penggunaan gambar dan bahasa yang mudah difahami.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi dari Universiti Malaya itu mahu pengguna di platform berkenaan khususnya golongan muda agar lebih celik sejarah sekali gus membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

“Acap kali saya dengar orang kata belajar sejarah itu bosan, sedangkan ia ilmu yang amat penting untuk difahami dan dihayati. Lagipun, saya menggunakan konsep lebih santai agar mereka senang faham. – Bernama

Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim bergambar bersama muridnya. –Bernama