TikTok keluarkan amaran video bunuh diri

LOS ANGELES, 8 SEPT – TikTok mengingatkan ibu bapa dan pengguna berhubung satu video bunuh diri yang terdapat dalam satu klip.

Video yang menunjukkan seorang lelaki warga Amerika bunuh diri datang daripada penstriman langsung Facebook dan telah dimuat naik kepada pelbagai platform media sosial, ada kalanya disunting dalam video lain yang tidak berkaitan.

“Kami sedar bahawa klip bunuh diri yang disiarkan di Facebook telah tular baru-baru ini di platform lain, termasuk TikTok,” kata TikTok di Twitter semalam.

Platform video itu berkata sistemnya secara automatik mengesan dan mengeluarkan klip yang melanggar garis panduan komuniti.

“Kami mengeluarkan isi kandungan dan mengharamkan akaun yang berkali-kali cuba memuat naik klip, dan kami menghargai ahli komuniti kami yang telah melaporkan isi kandungan dan mengingatkan orang lain supaya jangan menonton, membabitkan diri atau berkongsi video sedemikian di mana-mana platform demi menghormati individu tersebut dan orang kesayangan mereka,” kata TikTok.

TikTok, amat popular di kalangan kanak-kanak dan remaja, mencadangkan video baharu itu datang dari sumber yang tidak dilanggan oleh pengguna di laman For You mereka.

Kirra Pendergast, CEO pembekal keselamatan siber Australia Safe on Social, menasihati ibu bapa supaya menghalang anak mereka daripada menggunakan laman tersebut untuk beberapa hari ini sehingga semua klip telah ditemui dan dikeluarkan.

Pendergast berkata klip itu dikongsi di TikTok yang menyamar sebagai video tentang anak kucing. – AFP