Sunday, February 16, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    TikTok nafi jual operasi kepada Musk

    NEW YORK, 14 JAN – TikTok hari ini menafikan laporan yang mendakwa China sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menjual operasi platform perkongsian video itu di Amerika Syarikat (AS) kepada jutawan Elon Musk, di tengah-tengah desakan undang-undang AS yang mewajibkan pelupusan segera aset China.
     
    Bloomberg News, memetik sumber yang rapat dengan perkara itu, melaporkan bahawa pegawai China sedang mempertimbangkan penjualan operasi TikTok di AS kepada platform media sosial milik Musk, X.
     
    Menurut laporan tersebut, salah satu senario yang dibincangkan di Beijing adalah pembelian TikTok oleh X daripada pemiliknya di China, ByteDance dan menggabungkannya dengan platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
     
    “Kami tidak boleh memberikan komen terhadap sesuatu yang jelas merupakan cerita rekaan semata-mata,” kata jurucakap TikTok kepada AFP.
     
    Laporan itu menganggarkan nilai operasi TikTok di AS antara AS$40 bilion hingga AS$50 bilion.
     
    Walaupun Musk kini merupakan individu terkaya di dunia, Bloomberg menyatakan ia tidak jelas bagaimana Musk boleh melaksanakan transaksi tersebut atau sama ada beliau perlu menjual aset lain untuk berbuat demikian.
     
    Kongres AS meluluskan undang-undang tahun lalu yang mewajibkan ByteDance menjual platform popular itu atau menutupnya. Undang-undang tersebut akan berkuat kuasa pada Ahad, sehari sebelum Presiden baharu, Donald Trump, mengangkat sumpah. 
     
    Kerajaan AS mendakwa TikTok mengumpul data dan mengintip ke atas pengguna bertujuan menyebar propaganda. – AFP
     
    Elon Musk, memberikan isyarat tangan semasa berucap di Life Center Church, Harrisburg, Pennsylvania, pada 19 Oktober 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda