Tiktok tolak tawaran Microsoft

NEW YORK, 14 SEPT – Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) Microsoft, semalam memaklumkan tawaran mereka untuk membeli TikTok telah ditolak, meninggalkan Oracle sebagai satu-satunya pembida menjelang tarikh akhir bagi aplikasi video milik China itu sama ada dijual atau ditamatkan operasinya di AS.

The Wall Street Journal dan The New York Times melaporkan bahawa Oracle telah memenangi perang bidaan, memetik sumber yang rapat dengan perjanjian, walaupun syarikat tidak mengesahkannya kepada AFP.

Kedua-dua media China, CGTN dan Perkhidmatan Berita China, berkata hari ini ByteDance juga tidak akan menjual TikTok kepada Oracle, memetik sumber tanpa nama.

Bidaan Oracle memerlukan kelulusan dari Rumah Putih dan Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS, beritahu satu sumber kepada Journal, dengan kedua-dua pihak percaya ia akan memenuhi isu keselamatan data AS.

Microsoft berkata pada awal Ogos bahawa ia berminat untuk memperoleh operasi TikTok di AS, tetapi mengumumkan semalam bidaan tersebut telah ditolak.

“Kami dimaklumkan bahawa pemilik TikTok AS, ByteDance, tidak akan menjual operasi mereka kepada Microsoft.

“Kami yakin cadangan kami adalah baik untuk pengguna TikTok sementara melindungi kepentingan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada awal Ogos, Trump mengeluarkan arahan eksekutif menyatakan jika satu perjanjian pembelian gagal dicapai pada 20 September, platform itu perlu ditutup di AS. – AFP

Ilustrasi gambar yang diambil kelmarin menunjukkan logo aplikasi rangkaian sosial TikTok (kiri) dan bendera AS (kanan) dipamerkan di skrin dua komputer riba di Beijing. – AFP