TOKYO, 15 NOV – Menggoyangkan badan mengikut rentak muzik rancak bukan sahaja tabiat manusia, malah, tikus juga dikatakan bertandak atau menari mengikut rentak lagu-lagu bintang terkenal seperti Lady Gaga, menurut dapatan oleh saintis Jepun.
Penyelidik di Universiti Tokyo memainkan muzik Mozart, Queen dan lagu Lady Gaga bertajuk ‘Born this Way’ kepada tikus-tikus memakai penderia mini untuk mengesan pergerakan paling halus. Mereka mendapati tikus mempunyai keupayaan dalaman untuk menyelaraskan tarian dengan nada muzik, yang sebelum ini dipercayai satu kemahiran unik dimiliki manusia sahaja.
“Otak tikus dicipta untuk bertindak balas baik terhadap muzik, meskipun badan tikus bergerak sedikit sahaja,” kata profesor madya, Hirokazu Takahashi, sebahagian daripada pasukan yang menjalankan kajian itu.
“Kita percaya muzik punya kuasa ajaib, namun kita tidak tahu apa pun mengenai mekanismenya,” dia memberitahu AFP hari ini. “Maka kami mahu mengesan jenis bunyi yang menarik kepada otak, tanpa pengaruh emosi atau memori.
“Bagi tikus, kesan ‘bopping’ adalah yang paling ketara bagi muzik dalam rentak 120-140 seminit – sama seperti manusia.
“Ini membuatkan saintis berhipotesis ia boleh jadi reaksi yang konsisten bagi semua spesies. Muzik menggerakkan badan. Ia boleh melangkaui sistem auditori dan memberi kesan kepada sistem saraf…kuasa bunyi adalah amat besar,” tambah Takahashi. – AFP