ANKARA, 15 Feb – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson tiba di Turki hari ini dalam usaha untuk mengurangkan ketegangan dengan sekutunya dalam NATO yang telah tiba ke tahap tinggi berhubung operasi Ankara yang sedang dilaksanakan di dalam Syria.
Ketika lawatan dua harinya ke bandar Turki itu, Tillerson yang kali terakhir melawat negara itu pada Julai 2017 lalu, akan mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Mevlut Cavusoglu dan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Operasi Turki ke atas militia Kurdish di Syria telah menambah masalah baharu yang tidak dapat diatasi kepada isu-isu yang menyuramkan hubungan antara Washington dan Ankara.
Para penganalisis berkata tahap ketegangan adalah serupa dengan ketegangan tahun 2003 apabila Turki enggan membenarkan pasukan tentera AS beroperasi dari wilayahnya bagi perang Iraq, atau malah selepas serangan Ankara ke atas Cyprus pada tahun 1974.
Operasi Turki ke atas Unit-Unit Perlindungan Rakyat (YPG) yang disenaraihitamkan Ankara sebagai kumpulan ganas, telah menyaksikan pasukan tentera memerangi militia yang bersekutu rapat dengan AS dalam memerangi para pejuang jihad.
Erdogan telah memberi amaran ke atas pasukan tentera AS supaya menjauhi Manbij, bandar timur Afrin yang dikuasai YPG yang mana di situ berlaku operasi utama yang menambah kata kebimbangan akan berlaku pertempuran.
“Kami akan pergi ke Manbij dan jika mereka di situ, malang bagi mereka,” pegawai kanan Turki memberitahu AFP.
Apabila seorang pemerintah AS memberitahu New York Times ia akan memberi respons dengan agresif’ terhadap sebarang serangan oleh Turki, Erdogan bercakap dengan terus terang.
“Sangat jelas mereka yang membuat kenyataan seumpama itu tidak pernah mengalami pukulan Ottoman,” ujarnya, dengan menggunakan istilah bagi pukulan kilas yang menurut legenda boleh membunuh lawannya dalam sekali pukulan. – AFP