Tim, gajah bergading terakhir mati

NAIROBI, 6 FEB – Big Tim, seekor gajah disayangi yang merupakan salah seekor ‘gajah bergading’ terakhir Afrika, telah mati, kata Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) semalam.

“Gajah terkenal itu mati pada awal pagi Selasa pada usia 50 tahun,” kata KWS dalam satu kenyataan.

Mangsa yang terselamat daripada pemburu, Big Tim ditemui mati secara semula jadi di Taman Negara Amboseli di kaki gunung Kilimanjaro, kata Dana Amboseli untuk Gajah.

Ia adalah ‘pemelihara keamanan yang mesra di Amboseli,” kata KWS. “Ia dikenali dan disayangi di seluruh Kenya.”

Seekor gajah secara teknikal menjadi ‘gajah bergading’ apabila gadingnya adalah amat panjang sehingga ia mencecah tanah.

Biasanya, hanya gajah jantan tua yang mempunyai gading yang cukup panjang sehingga memperoleh status ini.

Namun penyokong pemuliharaan menganggarkan hanya beberapa dozen haiwan dengan gading sedemikian yang tinggal sekarang di benua itu.

Ini disebabkan pemburu menyasarkan haiwan dengan gading terbesar, dan gajah dengan gading paling berat adalah paling terancam.

Dengan gajah bergading dibunuh terlebih dahulu, ia mengurangkan kumpulan spesies berkenaan, akibatnya lebih banyak gajah di Afrika hari ini mempunyai gading lebih kecil berbanding satu abad lalu, menurut ahli sains.

Tim dinamakan oleh penyelidik yang memanggil setiap gajah dalam kumpulan keluarga yang diawasi oleh mereka berdasarkan huruf yang sama untuk membantu mengenal pasti haiwan itu; Tim adalah ahli kumpulan ‘T’.

Doktor haiwan pernah merawatnya apabila sebilah lembing menembusi telinganya dan patah tertusuk dalam bahunya.

“Hati kami amat sedih,” kata Wildlife Direct, kumpulan kempen pemuliharaan berpangkalan di Nairobi.

Bangkai Tim sedang dibawa ke ibu negara Kenya Nairobi, di mana ahli taksidermi akan mengawet Tim untuk dipamerkan di muzium negara, kata KWS. – AFP