Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timba ilmu dalam program perkampungan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam kali Pertama 2017 memasuki hari kedua hari ini yang antara lain diisikan dengan taklimat mengenai ‘Bahaya Dadah dan Sindiket Dadah Antarabangsa’ yang berlangsung di Bilik Serba Guna 2, Tingkat Bawah, Kompleks Sukan Sungai Kebun.

    Taklimat telah disampaikan oleh pegawai dari Biro Kawalan Narkotik, Dayang Wasulhana binti Haji Sudin yang antara lain menyentuh mengenai jenis-jenis dadah dan juga penyalahgunaan dadah serta denda-denda yang dikenakan bagi individu yang memiliki dadah.

    Menurutnya, salah satu dadah yang sering kali dikenali pasti adalah Methamphetamine (syabu) yang merupakan dadah Kelas ‘A’, juga boleh dikenali sebagai Ice, Kaca, Kristal, Batu, Gula, Tawas, Ajinomoto atau Nasi Lemak.

    Syabu juga merupakan dadah sintetik iaitu dadah buatan manusia yang mengandungi kimia berbahaya.

    Dayang Wasulhana menjelaskan, mana-mana individu yang memiliki dadah terkawal Methamphetamine akan dikenakan denda maksima 10 tahun atau denda $20,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua akan dikenakan minima tiga tahun.

    Antara para peserta yang menyertai program tersebut pagi kelmarin.
    Antara para peserta yang menyertai program tersebut pagi kelmarin.
    Dayang Wasulhana semasa menyampaikan taklimat mengenai jenis-jenis dadah dan juga penyalahgunaan dadah.
    Dayang Wasulhana semasa menyampaikan taklimat mengenai jenis-jenis dadah dan juga penyalahgunaan dadah.

    Beliau juga menekankan bahawa bagi mereka yang mengedar dadah lebih daripada 50 gram akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Taklimat telah dihadiri seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada 21 orang peserta lelaki dan 24 orang peserta perempuan lepasan ijazah dari institusi-institusi dalam dan luar negara termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, United Kingdom, Australia, Mesir dan Malaysia.

    Salah seorang peserta lepasan UBD yang ditemui, Dayangku Ariana Hafawati binti Pengiran Hamzah Faisal berkata, beliau berminat untuk mengikuti program berkenaan untuk membina diri dengan menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat di samping menyertai aktiviti-aktiviti menarik.

    Beliau berharap melalui program berkenaan akan dapat membantu beliau dalam mempersiapkan lagi diri untuk memasuki alam pekerjaan serta meningkatkan keyakinan diri sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda