Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Timba ilmu melalui lawatan sambil belajar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Musim persekolahan 2022 hampir melabuh tirainya, dan sebagai aktiviti selepas menjalani peperiksaan akhir tahun pihak sekolah akan mengadakan beberapa lawatan sambil belajar di beberapa tempat menarik di negara ini.

    Di samping sebagai aktiviti riadah, lawatan sambil belajar ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran kepada para pelajar terhadap setiap aspek yang terdapat di negara ini seperti mengenali hutan tropika, haiwan-haiwan, sejarah dan sebagainya.

    Animal Kingdom dedah pembelajaran mengenai haiwan

    Bagi memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran mengenai haiwan-haiwan yang dipelajari di dalam kelas, Sekolah Rendah Kapok, Muara, telah mengadakan acara hujung tahun yang bertemakan Animal Kingdom, baru-baru ini.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istigfar dan doa menghindari COVID, yang diketuai oleh Awang Muhammad Wajdi bin Haji Ahmad dan diteruskan dengan taklimat ringkas serta aktiviti yang diungkayahkan Sejahtera Community, iaitu sebuah pertubuhan yang komited dalam menyelamatkan haiwan-haiwan terbiar, seperti anjing dan kucing.

    Setelah itu, para pelajar diarahkan untuk bergerak bersama guru atau ibu bapa dan keluarga mereka ke Blok Prasekolah, untuk melihat kucing-kucing yang mengikuti pertandingan Kostum Kucing Terbaik dan Hiasan Sangkar Tercantik.

    Beberapa orang pelajar Sekolah Chung Hwa, Kiudang, berpeluang memberi makan kepada seekor kura-kura semasa lawatan ke Little Kingdom Petting Zoo, Jerudong Park.
    Perasaan teruja ahli Pengakap Tunas semasa mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Biodiversiti, Jabatan Perhutanan, Sungai Liang.
    Para murid dan orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke acara hujung tahun Sekolah Rendah Kapok, Muara.
    Semasa di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, murid-murid dapat mengetahui penggunaan teknologi canggih dan maju di negara ini.

    Lebih 400 orang pengunjung telah hadir ke acara berkenaan yang bukan saja dibukakan untuk warga sekolah, tetapi juga turut dibukakan kepada orang ramai. Acara itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan reptilia daripada KB Reptiles dan PMBF Animal Pet Wonder; pameran ikan daripada FDSA Breeder Betta Brunei; acara memanah daripada PPDBM Archery, permainan ATV daripada Md Harris Rafiuddin Enterprise dan sebagainya. Acara juga di sertai oleh 16 buah vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengetengahkan produk mereka kepada pengunjung.

    Kenali biodiversiti negara

    Sementara itu, untuk memberi peluang kepada ahli-ahli pengakap mengenal mengenai hutan hujan tropika di negara ini, seramai 48 orang ahli Pengakap Tunas dan lapan orang pemimpin Kumpulan Pengakap 2030 Sekolah Chung Hwa, Tutong, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Biodiversiti, Jabatan Perhutanan, Sungai Liang.

    Rombongan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Punai dan Kumpulan Tekukur itu telah diketuai oleh Ketua Pemimpin Kumpulan Pengakap 2030 sekolah berkenaan, Akela Hung Chin Chin.

    Turut hadir bagi mewakili Pusat Biodiversiti, Jabatan Perhutanan, Sungai Liang ialah Pegawai Perhutanan Kanan, Dayang Nor Hanney Aleesa binti Ramdan.

    Lawatan dedah ilmu sejarah

    Sekolah Chung Hwa, Kiudang, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa buah tempat menarik di negara ini.

    Rombongan seramai 50 orang murid dan 13 orang guru sekolah berkenaan telah mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

    Semasa lawatan itu, rombongan berpeluang melihat lebih dekat lagi alat-alat kebesaran yang digunakan semasa Istiadat Perpuspaan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di samping berpeluang menyaksikan perhiasan diraja Negara Brunei Darussalam serta pameran diraja.

    Manakala itu, semasa di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, murid-murid dapat mengetahui penggunaan teknologi canggih dan maju di negara ini.

    Sementara itu, seramai 55 orang murid Taman Asuhan 1 hingga murid Tahun 1 dan 13 orang guru sekolah berkenaan juga berpeluang mengadakan lawatan sambil belajar ke Little Kingdom Petting Zoo, Jerudong Park. Lawatan memberi pendedahan kepada murid-murid tentang pelbagai fakta menarik mengenai haiwan dan dapat memperkembangkan kemahiran berfikir melalui pengalaman semasa menyertai aktiviti lawatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...