BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Bagi menyokong Program Pra-Vokasional, Kedai Pastri Sabli telah menerima tujuh pelajar Program Pra-Vokasional Tahun 10 dan Tahun 11 Sekolah Menengah Masin bersama dua guru mereka bagi menimba kemahiran kerja di kedai tersebut, hari ini.
Kedatangan para pelajar dan guru telah dialu-alukan oleh Pengurus Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh bin OKMD Haji Saman yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai Syarikat Sabli dan Kedai Pastri Sabli yang juga merupakan anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli.
Kolaborasi di antara Kedai Pastri Sabli dan Sekolah Menengah Masin itu adalah inisiatif Bahagian Program dan Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah di mana pelajar dan guru diberi peluang untuk mempelajari kemahiran dalam penyediaan makanan terutama kuih-muih.
Haji Mohd Nooh memuji kolaborasi ini dan menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan institusi kerajaan dan swasta lain supaya terlibat sama dalam Program Pra-Vokasional dan memberi peluang bagi pelajar Program Pra-Vokasional menjalani penempatan kerja dan diambil bekerja selepas tamat program.


Selain tujuan utamanya memberi peluang kepada pelajar untuk menimba kemahiran kerja, ia juga adalah untuk mereka mengenali selok-belok operasi perusahaan kedai roti.
Pada masa yang sama, guru-guru mereka juga dapat mengenal pasti asas kemahiran kerja yang boleh diterapkan dalam pengajaran kemahiran vokasional di sekolah. Pelajar dan guru akan berada di kedai tersebut pada setiap hari Rabu dan akan mempraktikkan kemahiran yang diperolehi melalui penyediaan kuih-muih yang juga dijual semasa jualan roti pada setiap hari Khamis di sekolah tersebut.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikatnya juga, Haji Mohd Nooh turut menjelaskan bahawa Pengarah Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Arshad @ Haji Sabli, telah menyatakan minat untuk menawarkan peluang para pelajar dan guru bagi meraih pengalaman bekerja dan menjalani pe-nempatan kerja di bawah anak-anak syarikat beliau.