Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Mempelbagaikan makanan Brunei hingga menjadikannya kelihatan hidangan eksklusif mampu memberi pengalaman menarik kepada yang menjamunya.
Junior Cef d Partie di The Empire Hotel & Country Club, Dayang Ana Amalina binti Haji Jasmi menambah, makanan Brunei sebenarnya mempunyai potensi jika ia dihasilkan dengan kreativiti masing-masing di mana dengan mempelbagaikan makanan Brunei itu, ia juga mampu mengangkat taraf hidangan Brunei ke mata luar.
Beliau menekankan perkara ini semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Minggu Gastronomi Brunei 2018 di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini.
Pada majlis itu, The Empire Hotel juga diumumkan sebagai penerima Anugerah ‘The Best Presentation’ pada Minggu Gastronomi Brunei 2017 yang mana tema Gastronomi Brunei pada tahun lalu ialah ‘Buluh’.
Dayang Ana Amalina seterusnya memberitahu, untuk Gastronomi Brunei 2018, beliau akan cuba menampilkan hidangan atau makanan Brunei yang sudah tidak dihidangkan pada masa ini dan ini digabungkan dengan resipi lama dan baharu.
Menurutnya, gabungan bahan resipi itu nanti pastinya akan memberi satu pengalaman yang menarik buat yang menikmatinya.
Manakala itu, Ketua Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Awang Mohd Kamarul Izzudin bin Haji Kamaluddin pula menjelaskan bahawa ini adalah penyertaan sulung bagi mereka dalam Minggu Gastronomi Brunei 2018.
Beliau berharap, dengan penyertaan yang pertama ini, ia akan memberi peluang kepada pelajar Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan meneroka dan menimba pengalaman dalam usaha menjadi sebahagian daripada industri pelayanan.
Untuk Minggu Gastronomi ini, IBTE akan menyajikan hidangan Brunei untuk orang ramai pada Mac ini di Restoran Longhouse Training.
“Dengan melibatkan pelajar dalam Minggu Gastronomi ini, ia bukan saja memberi pendedahan kepada mereka bahkan ia sebagai platform pembelajaran mereka untuk mempelbagaikan hidangan Brunei,” jelasnya.