Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timba pengalaman, praktikkan pengetahuan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Skim latihan perantisan yang dijalankan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) merupakan program kolaborasi dengan syarikat-syarikat yang berkaitan untuk memberikan pengalaman bekerja kepada pelajar-pelajar IBTE.

    Dengan adanya program itu, pelajar-pelajar berpeluang untuk menimba pengalaman dan mempraktikkan pengetahuan yang dipelajari dalam bentuk pengalaman pekerjaan yang sebenar.

    “Dalam masa yang sama, pelajar-pelajar akan memperoleh kemahiran yang diperlukan melalui pemantauan dan tunjuk ajar daripada subject matter experts yang berpengalaman di syarikat-syarikat yang dimaksudkan,” jelas Pemangku Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi NTec Perantisan dalam Juruteknik Automotif dan NTec Perantisan dalam Penyejukan dan Penyaman Udara bagi sesi Julai 2020 yang berlangsung di Dewan Kuliah, IBTE Kampus Mekanikal, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim.

    Dr Haji Mohd Zamri dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa IBTE akan sentiasa berusaha supaya pelajar-pelajarnya dilengkapi dengan kemahiran dan mempunyai tahap kebolehpasaran tinggi diperlukan oleh pihak industri.

    Awang Muhammad Saufi bergambar ramai bersama wakil syarikat pada majlis menandatangani MoU di Dewan Kuliah, IBTE Kampus Mekanikal, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau menambah bahawa bagi memastikan model perantisan itu berjalan seperti yang dikehendaki, ia memerlukan komitmen dan kerjasama yang kukuh oleh pihak industri.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Dr Haji Mohd Zamri berkata bahawa IBTE merupakan sebuah institusi teknikal pasca-menengah yang berkanun dan ia memainkan peranan penting dalam mendidik serta melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan di mana pelbagai program yang ditawarkannya adalah dalam usaha untuk memenuhi keperluan tenaga kerja serta keperluan industri.

    “Bagi memastikan program yang ditawarkan oleh pihak industri, pihak IBTE sentiasa bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan termasuk pihak industri sendiri bagi memastikan pelajar-pelajarnya berkemahiran tinggi seperti yang diperlukan oleh permintaan tenaga kerja dan job-ready,” tambah beliau.

    Pada majlis berkenaan, Dr Haji Mohd Zamri menandatangani MoU bagi pihak IBTE dengan wakil-wakil syarikat berkenaan iaitu pengurus syarikat masing-masing di mana penandatangan disaksikan oleh Awang Muhammad Saufi.

    Penandatanganan MoU itu adalah antara IBTE dengan 12 buah syarikat automotif iaitu Arms Oil Pro Auto Services Sdn Bhd, Bengkel Kereta Berakas Sdn Bhd, Gadong Autoparts, GHK Motors, Grand Motors Sdn Bhd, Jati Transport Sdn Bhd, NBT (Brunei) Sdn Bhd, Premier Motors Sdn Bhd, QAF Auto Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd, Sin Hing Auto, T.C.Y Motors Sdn Bhd dan dua buah syarikat Perkhidmatan Pembangunan iaitu Aconkleen Company dan Daniel Engineering and Supply Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda