Timba pengalaman

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Brunei Darussalam sangat berbesar hati apabila terpilih menjadi salah sebuah negara yang terlibat di dalam bengkel latihan bertaraf dunia bagi jurulatih sukan para yang akan berlangsung 13 hingga 15 Julai nanti.

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud merangkap presiden Majlis Paralimpik Brunei Darussalam hari ini.

“Kita sangat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan negara penganjur kerana memberikan penghormatan kepada Majlis Paralimpik Brunei Darussalam yang pastinya akan memberikan kesan positif kepada hubungan kerjasama di antara kedua-dua badan dan kerajaan,” menurut Haji Rosmadee dalam ucapan alu-aluannya dalam mesyuarat bersama perwakilan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) mengenai pergerakan ke arah Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di Berakas, di sini.

Turut hadir ke majlis itu adalah dua jurulatih dari Brunei Darussalam yang akan berlepas ke Tokyo bulan depan iaitu Haji Wahid Ismail dan Azmiize Abdul Rahman.

Menurutnya lagi, Brunei Darussalam akan menyertai bengkel yang turut melibatkan 14 buah negara lain termasuk beberapa buah negara dari benua Afrika, rantau Oceania, Amerika dan Asia.

“Dengan peluang keemasan ini, saya berharap jurulatih kita akan mengaut sebanyak mungkin pengalaman dan pengajaran termasuk teknik latihan yang boleh diadaptasikan di negara ini selain berharap mereka akan membuat langkah berterusan memastikan semua ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan,” tambahnya lagi. Tambah beliau, kedua-dua jurulatih ini adalah barisan awal dalam inisiatif ini bagi memastikan skuad Paralimpik kita bersedia untuk temasya sukan susulan kepada Sukan Olimpik pada Julai 2020 akan datang.

“Saya menyeru supaya mereka (kedua-dua jurulatih terpilih) akan meraih sebanyak mungkin input terkini dalam dunia kejurulatihan dengan membuat kajian serta interaksi langsung bersama mentor bagi memastikan pembangunan dan kualiti kejurulatihan khususnya bagi sukan para di negara ini berdaya tahan,” tegasnya kepada sidang majlis hari ini.

Menurut Haji Rosmadee, usaha hari ini adalah salah satu langkah kepada hubungan dan mengukuhkan kerjasama berterusan di masa akan datang dalam membangunkan kapasiti dan kebolehan jurulatih di negara ini selain menjadi salah satu usaha menggalakkan hubungan kerjasama rentas sempadan.

“Daripada usaha sama ini juga kita berharap akan dapat mendapatkan cadangan dan usul yang bernas terutama sekali dalam memastikan atlet negara ini turut beraksi di Sukan Paralimpik di Tokyo 2020 nanti,” ujarnya lagi.

Majlis berkenaan turut menyaksikan taklimat dan pembentangan mengenai rangka kerja yang dirancang NSSU sebagai pihak terpilih menjayakan projek Paralimpik 2020 Tokyo yang disampaikan oleh perwakilan penyelidikan NSSU, Tomohiro Kanemoto.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, Shaikh Mahmud Shaikh Haji Ibrahim serta Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, Mohd Zain Haji Muhammad manakala hadir bagi pihak NSSU adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan, Masamitsu Ito.

Hadir sama ialah perwakilan Smart Shield International (B) Sdn Bhd, Okouchi Hiroshi.