Timbalan menteri luar Vietnam ditahan

HANOI, 15 APRIL – Polis Vietnam menahan timbalan menteri luar kelmarin atas dakwaan menerima rasuah berhubung program penerbangan penghantaran pulang semasa pandemik, menurut pegawai.

Dalam beberapa bulan kebelakangan, Vietnam telah mempertingkatkan usaha anti rasuah, menyasarkan pegawai kerajaan dan ahli peniagaan.

Kelmarin, Kementerian Keselamatan Awam mengeluarkan kenyataan dengan memberitahu bahawa To Anh Dung dan dua lagi pegawai telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berhubung penerbangan penghantaran pulang warganegara Vietnam sejak 2020.

Polis menggeledah kediaman dan tempat kerja ketiga-tiga mereka kelmarin. Tiada butiran mengenai kes didedahkan.

Dung, 58, dilantik sebagai timbalan menteri luar Vietnam pada 2019, selepas memegang beberapa jawatan di kementerian itu sejak 1991.

Selepas menutup sempadannya untuk mengurangkan penularan COVID, Vietnam mengaturkan hampir 800 penerbangan khas untuk membawa pulang warganegaranya dari 60 buah negara dan wilayah, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar.

Pengembara berdepan prosedur rumit ketika membayar tambang pelayaran dan yuran kuarantin untuk pulang, menurut laporan. – AFP