Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, hari ini, telah meneruskan siri lawatannya ke Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).
Dalam lawatan tersebut, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti berkesempatan membuat tinjauan ke kelas-kelas Pra U1 sambil beramah mesra dengan pelajar-pelajar. SMALHB mempunyai seramai 326 orang pelajar Pra U1.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal, Pengetua SMALHB, Hajah Sarimah binti Haji Ahmad, pegawai-pegawai kanan Jabatan Pengajian Islam (JPI) serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.
Dayang Hajijah semasa ditemui menjelaskan, sekolah Arab telah berjaya melahirkan ulama atau pakar dalam bidang tertentu sama ada dalam bidang agama atau bidang umum melalui sistem yang diguna pakai pada masa ini.
Beliau menjelaskan, pelajar mengikuti salah satu jurusan agama yang ditawarkan yang antaranya bidang Usuluddin, Syariah dan Lughah Arabiah (Bahasa Arab) selain ditawarkan mata pelajaran tertentu mengikut bidang-bidangnya.

Sementara itu, pelajar yang berminat mengikuti jurusan umum pula, pelajar-pelajar tersebut akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu pelajar yang mengikuti aliran agama dan umum sekali gus pelajar berkenaan akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Sijil BGCE ‘A’ Level pada tahun yang sama.
Manakala itu, satu kumpulan lagi, pelajar yang mengambil Peperiksaan BGCE ‘A’ Level saja dan bagi pelajar yang mengikuti bidang Umum 1 (U1), bukan sahaja mempelajari mata pelajaran umum malah pelajar tersebut juga akan mempelajari Bahasa Arab, Al-Quran, Fiqah Islam, Tauhid dan amali agama.
Beliau seterusnya menjelaskan, peperiksaan itu akan dijadikan sukat-sukat untuk yang cemerlang dan akan dianugerahkan biasiswa kerana mata pelajaran agama bagi pelajar yang mengambil bidang U1 dipersyaratkan untuk melayakkan mereka mendapat biasiswa.
Katanya lagi, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mempersiapkan dan menyediakan pelajar di sekolah berkenaan untuk menjadi ulama-ulama yang boleh membantu Negara Brunei Darussalam dalam merealisasikan wawasan negara untuk melahirkan rakyat yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi.
Hasil dan produk dari sekolah berkenaan, jelasnya, telah banyak yang berkhidmat di pelbagai agensi dan ia bukan saja di KHEU malah di semua kementerian.
Beliau seterusnya menambah, sistem pembelajaran di sekolah Arab berkenaan bukan saja dilihat sebagai satu sistem pembelajaran yang menyediakan pelajar kepada bidang agama saja tetapi ia sudah berkembang ke pelbagai bidang.
“Jika dilihat pada masa ini, biasiswa KHEU mempunyai pelajar yang mengikuti jurusan Perubatan, Ekonomi, Kesihatan Sains, Pengurusan dan ini menunjukkan keseimbangan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau seterusnya menyeru ibu bapa supaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah Arab untuk memberikan kepercayaan kepada KHEU kerana sistem yang diberikan adalah sama standard sistem aliran kebangsaan.
Sekolah-sekolah Arab menggunakan kurikulum pendidikan kebangsaan iaitu SPN21 dan kurikulum yang diguna pakai oleh Sistem Ma’Had Bu’uths Al-Ismailah Al-Azhariah Mesir.
Menurutnya, gabungan kedua-kedua sistem berkenaan telah dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam duniawi dan ukhrawi.
Beliau seterusnya berharap untuk sama-sama mendidik pelajar berkenaan menjadi ulama yang dapat menyumbang kepada perkembangan syiar Islam di Brunei dalam apa juga bidangnya tidak kira sama ada dalam bidang agama atau sains umum.
Daripada 326 orang pelajar Pra U1 berkenaan, seramai 166 orang pelajar memilih jurusan Syariah, 72 orang pelajar memilih jurusan Usuluddin, 25 orang pelajar memilih jurusan Lughah Arabiah, 41 orang pelajar memilih jurusan Umum 1 dan 22 orang pelajar memilih jurusan Umum 2, manakala itu, Pra U2 mempunyai seramai 307 orang pelajar.
SMALHB telah mencapai beberapa kecemerlangan membanggakan yang mana dari segi kurikulum, pada tahun 2017 saja, ia telah mencapai 96.8 peratus lulus dalam Peperiksaan STPUB dan 100 peratus lulus dalam Peperiksaan BCGCE ‘A Level.