Timbalan Presiden Afghanistan cedera letupan di Kabul

KABUL, 9 SEPT – Timbalan presiden Afghanistan, Amrullah Saleh mengalami kecederaan ringan kelmarin apabila konvoinya menjadi sasaran letupan di Kabul yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan puluhan yang lain, menurut kenyataan daripada pegawai.

Dalam sebuah video yang dimuat naik ke Facebook sejurus selepas letupan, Saleh, dengan tangan kirinya dibalut, berkata dia dalam perjalanan menuju pejabatnya apabila konvoi mereka diserang.

“Saya dalam keadaan baik tetapi beberapa orang pengawal saya mengalami kecederaan. Anak lelaki saya, yang turut berada di dalam kereta bersama saya turut dalam keadaan baik,” menurut Saleh.

“Saya mengalami sedikit kecederaan pada bahagian muka dan tangan. Letupan tersebut sangat kuat.”

Akmal Samsoor, seorang jurucakap bagi kementerian kesihatan, memberitahu AFP sebanyak 10 mayat dan 12 orang yang tercedera telah dibawa ke hospital Kabul.

Kawasan letupan di mana konvoi timbalan presiden Afghanistan diserang di Kabul yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan puluhan yang lain. – AP

Pihak Taliban, yang berjanji untuk tidak melancarkan serangan di kawasan bandar di bawah perjanjian bersama Amerika Syarikat, mengaku tidak bertanggungjawab.

Abdullah, seorang penjaga kedai, berkata letupan telah memusnahkan cermin kedainya.

“Sebuah kedai yang menjual gas turut terbakar, menyebabkan berlakunya letupan,” katanya.

Saleh adalah salah seorang pegawai tertinggi dari dua timbalan presiden Afghanistan. Yang kedua ialah Sarwar Danish.

Beliau yang seorang pengkritik Taliban, terselamat dari serangan tahun lalu ketika menjelang pilihan presiden.

Sekurang-kurangnya 20 orang – kebanyakannya adalah orang awam – terbunuh manakala 50 lagi tercedera apabila penyerang berani mati dan lelaki bersenjata menyasarkan pejabat Saleh di Kabul pada masa itu.

Serangan kelmarin berlaku ketika rundingan antara Afghanistan dan Taliban dijangka bermula bagi rundingan perdamaian tidak lama lagi di ibu kota Qatar, Doha.

Pada Ahad, Saleh berkata pasukan perunding di Kabul akan mendesak gencatan senjata awal yang kekal.

“Ujian pertama bagi Taliban ialah gencatan senjata,” Saleh memberitahu Tolo News. – AFP