Wednesday, February 1, 2023
25.4 C
Brunei

-

Timbang pesawat Boeing laluan Sibu-KK, Sibu-S’pura

SIBU, 30 Julai – Kementerian Pengangkutan diminta mempertimbangkan penggunaan pesawat Boeing bagi laluan Sibu-Kota Kinabalu dan Sibu-Singapura untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke bandar ini dan ke wilayah tengah negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, ia adalah penting bagi memajukan industri pelancongan di kawasan tersebut.

Menurutnya, hubungan udara yang terhad dan struktur tambang yang mahal merupakan halangan utama dihadapi dalam mempromosi dan membangunkan industri pelancongan di wilayah berkenaan.

“Hubungan udara dengan negeri jiran Sabah dan negara terdekat Singapura dengan kita di Sibu adalah sangat terhad selain kadar tambang mahal,” katanya sambil menambah perkara itu menjadi penghalang utama dalam membangunkan industri pelancongan di situ.

Beliau berucap semasa menutup Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2017 anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di Dataran Sibu di sini malam tadi yang berlangsung sejak 19 Julai lalu.

Datuk Seri Wong Soon Koh (dua, kiri) menerima cenderahati daripada Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Rogayah Jamain selepas menutup Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) di Dataran Bandar Sibu malam tadi. – Bernama
Datuk Seri Wong Soon Koh (dua, kiri) menerima cenderahati daripada Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Rogayah Jamain selepas menutup Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) di Dataran Bandar Sibu malam tadi. – Bernama

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak turut mempertikai penerbangan laluan Sibu–Kota Kinabalu yang masih lagi diklasifikasikan sebagai perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

“Saya fikir, ini adalah sangat tidak adil. Sibu merupakan sebuah bandar besar dengan jumlah populasi lebih 260,000 orang. Kita mempunyai kolej-kolej, universiti, sekolah antarabangsa, organisasi perniagaan besar, hab halal Tanjung Manis dan industri berat di Mukah,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau menyeru Kementerian Pengangkutan untuk melihat perkara itu secara serius.

Terdahulu, beliau berkata, walaupun BCF 2017 berjaya menarik ramai pengunjung tempatan, jumlah pengunjung asing masih rendah kerana tiada penerbangan terus ke bandar itu.

Beliau turut berkata, kejayaan menganjurkan BCF 2017 jelas menunjukkan perpaduan yang jitu serta kerjasama erat antara pelbagai kaum di bandar tersebut. – Bernama

Artikel sebelum iniSentral Siuk tarik pelanggan
Artikel seterusnyaDadah: Datuk bandar maut
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -