MIHAIL KOGALNICEANU, 11 FEB – Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, hari ini memberi amaran risiko sebenar konflik bersenjata baharu di Eropah didorong pakatan dan Rusia yang meningkatkan kehadiran tentera sekitar Ukraine.
Rusia mempunyai kira-kira 100,000 tentera ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine dan beberapa pemimpin Barat berlumba-lumba untuk mengadakan rundingan susulan kebimbangan serangan mungkin dilancarkan oleh Moscow.
Sejumlah 1,000 tentera tambahan Amerika Syarikat (AS) bertujuan menguatkan lagi sayap timur NATO akan tiba di Romania minggu ini.
Manakala lebih banyak tentera termasuk peralatan juga dihantar ke negara Eropah timur yang lain.
“Terdapat risiko sebenar konflik bersenjata baharu di Eropah. Angka tentera Rusia kian bertambah dan tempoh amaran semakin berkurangan,” kata Stoltenberg kepada pemberita selepas melawat pangkalan di sini berhampiran Laut Hitam, bersama Presiden Romania, Klaus Iohannis.
“Pada masa sama, kita tidak ada sebarang kepastian dan oleh itu, kami terus menghubungi Rusia untuk menyeru mereka supaya meredakan ketegangan dan letakkan niat baik dalam dialog politik dengan sekutu NATO serta NATO,” tambahnya.
Presiden AS, Joe Biden, minggu lalu mengumumkan bahawa beliau akan menghantar 1,000 tentera ke Romania dan 2,000 tentera lagi ke Poland.
Tentera yang tiba di Romania akan dipindahkan ke sebuah pangkalan di Jerman.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata beliau juga bersedia menghantar ratusan tentera ke Romania di bawah arahan NATO. – AFP