Times Square anjur kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengendalikan kempen derma darah di Kompleks Membeli-belah Times Square, esok (8 September).

Kempen derma darah anjuran Pengurusan Kompleks Membeli-belah Times Square itu akan berjalan dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Kempen dibukakan kepada orang ramai dan mereka diingatkan untuk mengimbas kod QR serta mengamalkan penjarakan sosial di tempat kempen diadakan.

Kenyataan menyatakan, Pusat Pendermaan Darah pada masa ini memerlukan kesemua jenis darah, terutama sekali jenis A, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 dan 6001 atau e-mel kepada [email protected] dan
ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).