KUALA LUMPUR, 16 April – Larian Baton Bangkit Bersama yang diadakan bersempena penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan diteruskan di Dili, Timor Leste pada 17 April ini.
Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara yang bertujuan membawa kemeriahan bersempena KL 2017 itu akan diketuai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan selaku delegasi Malaysia kali ini dalam siri larian ketujuh itu.
Beliau akan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Larian Baton Bangkit Bersama Ajitpal Singh Santokh Singh.
Larian berkenaan akan bermula di Stadium GMT dan seterusnya akan bergerak sejauh 12 kilometer melalui beberapa lokasi bersejarah di Dili, antaranya Palace of the President of Timor-Leste, Farol Lighthouse dan Jardim 5 de Maio (Park of the 5th May).
Menurut kenyataan itu, Menteri Seni Pelancongan dan Kebudayaan Timor-Leste, Francisco Kabualdy dijadual hadir mewakili negara itu sebagai menyokong program berkenaan.
Larian Baton Bangkit Bersama merupakan praacara kepada temasya KL 2017 yang dianjurkan MASOC dengan kerjasama negara-negara terlibat sebagai satu daripada usaha mempromosikan KL 2017.
Kemboja akan menjadi destinasi kelapan Larian Baton Bangkit Bersama yang bermula 5 Mac lepas , melibatkan enam negara sebelum ini iaitu Brunei, Filipina, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
Temasya Sukan SEA ke-29 akan berlangsung bermula 19 hingga 30 Ogos sementara Sukan Para ASEAN ke-9 pada 17 hingga 23 Sept depan. – Bernama