Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Timor Leste harap sertai ASEAN 2023

    BOGOR, 19 JULAI – Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta berharap negara Asia paling muda itu boleh menyertai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, selepas beliau bermesyuarat dengan rakan sejawat Indonesia hari ini.

    Pada satu sidang media bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, Ramos-Horta berkata kerajaannya telah memenuhi semua kelayakan untuk menjadi ahli terbaharu blok itu dan negaranya menjangkakan Widodo akan memaksimumkan peranannya sebagai pengerusi ASEAN seterusnya untuk mempercepatkan penerimaan Timor Leste sebagai ahli ke-11 kumpulan serantau itu.

    “Saya berterima kasih yang Indonesia kekal komited bagi keahlian Timor Leste dalam ASEAN,” kata Ramos-Horta selepas mesyuarat dengan Widodo, menggunakan nama rasmi negaranya. “Kami berharap dapat menyertai ASEAN semasa penggiliran Indonesia sebagai pengerusi sidang kemuncak ASEAN dan menjadikannya lebih simbolik.”

    Widodo kelihatan mengangguk kepala tanda bersetuju ketika Ramos-Horta melahirkan harapan itu, namun beliau tidak membuat sebarang komen mengenai permintaan Timor Leste untuk menyertai ASEAN semasa sidang media itu. Ramos-Horta, bekas pejuang kemerdekaan dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, mengangkat sumpah sebagai presiden Timor Leste pada 20 Mei ketika negara itu meraikan ulang tahun ke-20 kemerdekaan dari Indonesia, yang menakluki bekas jajahan Portugis itu dalam 1975.

    Beliau mengadakan lawatan dua hala pertama ke Indonesia – ekonomi terbesar Asia Tenggara dan persinggahan tradisional pertama bagi setiap pemimpin baharu Timor Leste. Beliau disambut meriah dalam majlis rasmi di istana presiden di Bogor hari ini. – AP

    Ramos-Horta berbual dengan Joko Widodo semasa pertemuan mereka di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat, 19 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...