SYDNEY, 8 MAC – Banjir kilat, angin kencang dan ribut terus melanda kawasan pantai timur Australia, menyebabkan ratusan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing manakala sekurang-kurangnya 13 orang maut di Queensland dan tujuh di New South Wales (NSW), lapor Xinhua.
Polis hari ini mengesahkan dua lagi kematian terbaharu membabitkan ibu dan anak lelakinya selepas kenderaan mereka dihanyutkan arus deras di barat Sydney.
Setakat hari ini, Perkhidmatan Kecemasan Negeri NSW (SES) telah mengeluarkan arahan berpindah bagi sempadan wilayah Queensland hingga ke sempadan Victoria.
Pesuruhjaya SES NSW, Carlene York memberitahu media tempatan, pihaknya sudah mengeluarkan 11 arahan berpindah membabitkan lebih 60,000 penduduk.
York berkata banyak jalan raya masih tidak dapat dilalui dan pihak penyelamat terpaksa menggunakan helikopter dan bot di samping itu banyak kawasan mengalami gangguan telekomunikasi.
Banjir berterusan kali ini adalah yang terburuk dengan satu daripada kawasan paling teruk terjejas ialah komuniti luar bandar Lismore di utara NSW, menyaksikan lima orang lemas ketika air banjir mencecah paras 14.5 meter pada hujung minggu.
Sementara itu, pakar meteorologi Tom Hough berkata kawasan pantai timur diramal menghadapi hujan lebat berterusan sepanjang Selasa sebelum keadaan beransur reda pada Rabu. – Bernama