Timur Tengah berdepan gelombang kedua virus

DUBAI, 19 NOV – Menjelang musim sejuk dan kes koronavirus meningkat di seluruh Timur Tengah, pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini satu-satunya cara untuk mengelak kematian besar adalah untuk negara memperketat sekatan dan menguatkuasakan langkah pencegahan dengan segera.

Dalam taklimat media dari Kaherah, Ahmed al-Mandhari, pengarah WHO rantau Mediterranean, yang terdiri daripada kebanyakan negara Timur Tengah, menyatakan kebimbangan negara di kawasan itu sudah mula leka selepas sekatan ketat dikenakan pada awal tahun ini.

Asas respons pandemik, dari penjarakan sosial kepada pemakaian penutup mulut dan hidung, “masih diamalkan sepenuhnya di rantau kami,” kata beliau.

Mendapati virus telah menjangkiti lebih 3.6 juta orang dan membunuh lebih 76,000 di rantau itu dalam tempoh sembilan bulan, al-Mandhari mengingatkan ‘nyawa ramai orang masih terancam, justeru menggesa orang ramai supaya menghalang bencana tragik ini daripada menjadi realiti.’

Lebih 60 peratus daripada jangkitan baharu dilaporkan dari Iran, yang telah melihat wabak paling teruk di rantau, serta Jordan dan Morocco, katanya.

Kes juga meningkat di Lubnan dan Pakistan. Jordan, Tunisia dan Lubnan telah melaporkan peningkatan kematian terbesar dalam tempoh sehari dari rantau berkenaan.

Sementara al-Mandhari mengalu-alukan berita pengeluaran vaksin, beliau berkata pandemik masih belum berakhir.

“Kami tidak boleh menunggu sehingga vaksin selamat disediakan kepada semua,” katanya. “Kami tidak tahu bila ia akan berlaku.” – AP

Gambar fail menunjukkan penduduk memakai penutup mulut dan hidung untuk membantu menghalang penularan koronavirus di pusat Bandar Tehran, Iran. – AP