HUANGSHAN, CHINA, 9 DIS – Pemimpin-pemimpin ekonomi global hari ini memuji tindakan China untuk beralih daripada dasar sifar COVID yang tegas, dengan ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata ‘tindakan penting’ itu akan membantu menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi di negara itu dan di seluruh dunia.
Pelonggaran sekatan akan membantu membangunkan ekonomi dunia yang bergelut dengan kesan pandemik dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kata ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia selepas sidang media di bandar Huangshan, yang dianjurkan oleh Perdana Menteri China, Li Keqiang.
Kelmarin, Beijing mengumumkan tindakan untuk melonggarkan langkah sifar toleransi terhadap penularan koronavirus, menamatkan perintah berkurung berskala besar dan membenarkan kes positif untuk menjalani pengasingan di rumah berikutan bantahan berleluasa terhadap sekatan itu.
Keputusan itu menunjukkan bahawa negara ekonomi kedua terbesar dunia itu akhirnya beralih kepada kehidupan bersama COVID selepas usaha bertahun-tahun membendung penularan.
“Kami mengalu-alukan keputusan penting yang diambil oleh pihak berkuasa China untuk mempertimbangkan dasar COVID bagi membina peluang yang lebih baik untuk menghidupkan semula perkembangan di China,” kata Kristalina Georgieva semasa sidang media bersama ketua-ketua institutusi ekonomi utama.
Usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi dan rawatan anti-viral ‘sangat baik untuk rakyat China, tetapi ia juga penting untuk Asia dan seluruh dunia,” tambah Georgieva.
“Prestasi China bukan sahaja penting untuk negaranya, tetapi ia juga penting untuk ekonomi dunia.” – AFP
