Tindakan Elly buatkan peminat ‘panas hati’

GARA-gara terlalu geram dengan watak Senah yang dilakonkannya dalam drama, Patah Sayap Bertongkat Paruh, Elly Mazlein menerima pelbagai ‘gertakan’ penonton di laman sosial.

Elly berkata, ada peminat yang ‘mengugut’ mahu menampar dan memukul, malah ingin menolaknya ke dalam sungai disebabkan terlalu menyampah dengan karakter Senah.

“Mereka sakit hati melihat kelicikan Senah hingga ruangan komen di laman Instagram saya dibanjiri pelbagai ‘ugutan’. Komen yang diberikan memang ganas, tetapi tidaklah sehingga mengancam keselamatan saya. Mereka hanya marah-marah manja dan reaksi penonton membuktikan lakonan saya dalam drama itu membekas di hati hingga ramai yang membenci. Reaksi mereka juga menyuntik semangat saya untuk terus memberikan persembahan terbaik setiap kali mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah,” katanya.

Elly yang turut dikenali sebagai pengacara berkata, dia turut menyelitkan elemen humor untuk mengimbangi karakter Senah hingga membuatkan penonton tertunggu-tunggu kemunculannya dalam setiap episod. “Ada penonton mengakui, mereka ketawa besar hingga mengalirkan air mata kerana terhibur dengan cara saya mencorakkan karakter Senah. Memang karakter Senah agak jahat, tetapi tidak sehingga membuat penonton tertekan,” katanya.

Selain Elly, drama arahan Along Kamaludin itu turut menampilkan Fasha Sandha, Datuk Aaron Aziz, Zarul Husin dan Amelina sebagai teraju utama. Sebelum ini, penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu pernah menambat hati penonton dengan aksi manja bersahaja setiap kali muncul sebagai pengacara.

Ibu kepada Putri Sara Sefhia itu berkata, penangan Senah juga membuatkan pihak produksi tidak mampu menahan ketawa ketika proses suntingan dilakukan. – Agensi

Elly berkata, ada peminat yang ‘mengugut’ mahu menampar dan memukul, malah ingin menolaknya ke dalam sungai disebabkan terlalu menyampah dengan karakter Senah. – Agensi