Tindakan ke atas kenderaan tidak selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 27 pemandu telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) atas pelbagai kesalahan yang didapati semasa operasi penguatkuasaan terhadap kereta tertentu dan kenderaan-kenderaan yang mencurigakan dari segi tahap keselamatannya di Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPD, 19 buah kenderaan termasuk empat buah kenderaan persendirian yang tidak layak dipandu di jalan raya telah pun ditahan dan diperiksa.

Sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan oleh JPD bagi pelbagai kesalahan kerana melanggar Akta dan Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68) termasuk lapan buah kenderaan komersial.

Antara kesalahan yang didapati termasuk kenderaan tidak dalam keadaan baik (badan kenderaan, cat, berkarat, kerusi rosak, kerusi tidak dipasang, lantai berlubang dan sebagainya), pemandu tidak memakai tali pinggang keselamatan, menggunakan kenderaan persendirian untuk perniagaan, tayar tidak berbunga, kenderaan tidak sesuai membawa barang.

JPD juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lapan kenderaan komersial yang didapati menyalahi Akta dan Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68).

Antara kesalahan yang didapati semasa operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh JPD. – Gambar serahan JPD

Antara kesalahan yang didapati kenderaan tidak sesuai barangan (aspal), muatan tidak berikat, membawa lebih muatan, tayar botak dan nampak benang, kenderaan dalam keadaan tidak baik (gelas pintu retak, plat lesen pecah, rel keselamatan rosak), melaraskan, mengusik, memecahkan materi pada alat amaran laju (SWD), SWD mansuh dan lesen memandu mansuh.

Di samping tindakan-tindakan terhadap pemandu dan kenderaan, JPD juga telah
mengeluarkan surat amaran kepada majikan atau pemilik syarikat berkenaan yang mana kesalahan-kesalahan membabitkan pemandu dan kenderaan di bawah majikan dan syarikat berkenaan.

Kenyataan menekankan, berdasarkan pemantauan JPD, terdapat kenderaan-kenderaan yang mencurigakan dari segi tahap keselamatannya diguna pakai di jalan raya.

Oleh yang demikian, JPD mengingatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan bermotor supaya mematuhi akta-akta dan peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengamalkan etika pemanduan yang selamat serta sentiasa mematuhi had-had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar ketika memandu, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memastikan tayar dalam keadaan baik atau tidak botak, meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan dan tidak membawa muatan berlebihan yang boleh membahayakan.