Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sebanyak 191 kes pemandu dikenal pasti melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu bagi tahun 2017, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Penguasa Kanan Polis, Awang Husaini bin Haji Matzin.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media baru-baru ini, bahawa JSKLL menerima laporan sebanyak 191 kes dalam masa setengah tahun, di mana menurut beliau statistik itu agak membimbangkan.
Awang Husaini menambah bahawa PPDB akan sentiasa menjalankan operasi-operasi dan akan menahan mana-mana pemandu yang menggunakan telefom bimbit semasa memandu.
“Jika didapati seseorang pemandu itu menggunakan telefon bimbit semasa memandu atau semasa berhenti di lampu trafik, memang akan diambil tindakan denda kompaun,” tekan beliau.
Bagi mengatasi kesalahan ini, beberapa pemberigaan sudah pun dikeluarkan melalui media, radio dan televisyen, juga bersama agensi-agensi keselamatan terutama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang akan memantau dan menahan secara langsung, jelas Awang Husaini.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, selaku Setiausaha Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi berkata pihaknya ketika ini sedang dalam proses dalam pembuatan satu dokumentari dengan kerjasama agensi-agensi terlibat, yang mana akan menunjukkan sikap-sikap pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu, yang tidak menggunakan tali pinggang keselamatan dan kesalahan yang boleh dipantau semasa operasi bergerak dijalankan.
Beliau menjelaskan, dalam proses pengambaran itu nanti para pemandu yang didapati membuat kesalahan akan digambar, dirakam dan akan ditahan di tepi jalan.
Manakala, penguatkuasa akan menunjukkan surat kompaun untuk dipersetujui oleh pihak pemandu termasuk bukti-bukti kesalahan.
Menurut Dr Haji Supry, dokumentari itu nanti akan ditayangkan sekitar awal bulan September nanti.
JPD melalui MKKJR dengan kerjasama PPDB akan sentiasa meningkatkan operasi untuk memastikan bahawa keselamatan jalan raya akan terjamin kepada semua pengguna jalan raya.
Pemangku Pengarah JPD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menjelaskan kepada media, JPD melalui bahagian penguatkuasaan pada masa ini sudah mencatatkan 17 laporan pemandu-pemandu yang menyalahi peraturan.
JPD juga kini sedang giat mengeluarkan gambar-gambar dan video yang berunsurkan kesedaran serta kepentingan keselamatan kepada orang ramai.
Selain itu, mengadakan aktiviti jerayawara ke sekolah-sekolah di negara ini.