YANGON, 1 Ogos – Suruhanjaya baharu yang ditubuhkan oleh Myanmar untuk menyiasat penganiayaan hak asasi kemanusiaan di negeri Rakhine telah dikritik oleh para pemerhati semalam sebagai ‘gimik politik’ ketika negara itu cuba untuk mengelak kecaman seterusnya berhubung layanannya ke atas etnik Islam Rohingya.
Petang semalam kerajaan mengumumkan bahawa suruhanjaya siasatan ‘bebas’ telah ditubuhkan tetapi tidak memberikan butiran tentang bidang kuasanya atau tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan laporannya.
Pihak tentera menyerang kampung-kampung Rohingya dalam kempen yang bermula Ogos lalu ekoran siri-siri serangan pemberontak, yang memaksa kira-kira 700,000 melarikan diri ke sempadan beramai-ramai menuju Bangladesh.
Dalam tempoh beberapa dekad ini, Rohingya terus dilucutkan hak mereka oleh Myanmar yang secara meluas menganggap mereka sebagai penghijrah haram dari Bangladesh.
Penganalisis di Yangon, David Mathieson mengecam suruhanjaya baharu itu sebagai ‘gimik politik’.
“Memandangkan bukti yang diperoleh Amnesty International, PBB dan media, Suruhanjaya Siasatan (Col) adalah sama seperti gerak isyarat biadab, bukan siasatan sebenar,” katanya, dengan menambah kata ia ‘bercanggah dengan pihak ketenteraan yang menutupi pembersihan etnik’. – AFP